BANGI, 9 JAMADILAKHIR – Barisan Nasional (BN) menegaskan parti itu masih mempunyai asas sokongan yang kukuh di Sabah susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kata Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut keputusan rasmi malam tadi, BN memenangi 6 kerusi daripada 45 kerusi yang dipertandingkan.
Dalam kenyataan Facebook, Zahid merakamkan penghargaan kepada semua pengundi yang terus memberikan kepercayaan kepada calon BN, selain menekankan bahawa keputusan PRN membuktikan kedudukan BN masih relevan dalam politik negeri.
“Barisan Nasional merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepada calon-calon BN.
“Kita menghormati dan menerima keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang menyaksikan seramai 596 calon telah bertanding sebagai suatu manifestasi kesuburan demokrasi di negeri ini,” katanya.
Zahid berkata, keputusan tersebut, termasuk pencapaian kerusi BN itu, mengesahkan bahawa BN kekal sebagai salah satu blok politik utama di Sabah.
“Keputusan ini membuktikan bahawa Barisan Nasional masih mempunyai asas sokongan yang teguh dan terus menjadi salah satu blok politik penting dalam landskap politik Sabah,” kata Zahid.
Beliau turut menegaskan pendirian BN yang sentiasa mengutamakan kestabilan dan kesejahteraan rakyat.
“Sebagai sebuah parti yang sentiasa memberikan keutamaan kepada soal kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam masa sama, Zahid menyeru rakyat Sabah mengekalkan keamanan dan perpaduan demi menjaga kelancaran proses demokrasi.
“Perjalanan Negeri Sabah ke hadapan memerlukan iltizam semua pihak, dan BN akan terus memainkan peranan yang konstruktif bagi memastikan negeri ini terus melangkah ke arah kemajuan dan kemakmuran,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi