BANGI, 7 JAMADILAKHIR – Pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah hari ini dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung ulasan yang dibuat mengenai isu hidangan arak di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) baru-baru ini.
Ulasan dan lontaran pandangan itu dibuat menerusi beberapa siri hantaran di Facebook pada bulan lalu.
Terdahulu, beliau hadir ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) pada jam 11 pagi sebelum dilihat keluar dari pekarangan Bukit Aman pada jam 12.30 tengah hari tadi.
“Saya dipanggil ke Bukit Aman sebab ada laporan berkaitan dengan artikel saya di Facebook saya.
“Artikel itu berkaitan dengan saya ulas tentang sekolah Cina dan penggunaan dewan sekolah Cina bagi tujuan untuk dihidangkan arak kalau ada majlis,” katanya kepada TV Pertiwi.
Mengulas lanjut, Mohd Ridhuan tetap mempertahankan ulasan yang dibuat sebelum ini dan menegaskan bahawa hidangan arak sepatutnya dilarang untuk dihidangkan di dewan dalam premis sekolah.
Malah, katanya, ulasan itu juga selari dengan apa yang diungkapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kementerian Pendidikan.
“Takkan kita tak boleh ulas langsung perkara berkaitan dengan cara hidup kita dan perkara yang berkaitan dengan kepentingan orang ramai?
“Memang jelas sudah ada garis panduan sekolah kerajaan ataupun dewan kerajaan sekiranya digunakan sama ada untuk majlis, keramaian, jamuan dan sebagainya oleh pihak luar, maka arak tidak boleh dihidangkan.
“Ini juga disebut oleh Perdana Menteri dan juga arahan Kementerian Pendidikan. Kita hanya memberi respon kepada kenyataan tersebut,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa semua agama melarang menghidang dan minum arak.
“Semua agama mengharamkan arak. Takada sebenarnya isu hak asasim manusia dan sebagainya. Sebab arak ini dilarang oleh semua agama.
“Apa isunya? Saya hanya bercakap benar,” tambahnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi