HAT YAI/KUALA PERLIS, 7 JAMADILAKHIR – Pasukan penyelamat banjir di Thailand bersiap menggunakan dron untuk menghantar bantuan dan helikopter menjatuhkan bekalan kepada mangsa yang terperangkap di atas bumbung, ketika angka korban akibat banjir terburuk negara itu dalam beberapa tahun terus meningkat, sementara jumlah mangsa maut akibat rebut tropika di Indonesia pula naik kepada 61 orang.
Kerajaan Thailand berkata, 55 orang maut ketika banjir teruk melanda selepas seminggu hujan lebat yang memusnahkan sembilan wilayah di selatan negara itu. Di Sumatera, Indonesia, pasukan penyelamat berhempas pulas untuk sampai ke komuniti yang terputus hubungan akibat tanah runtuh dan banjir yang mencetuskan kekacauan di tiga wilayah.
Thailand mempertingkatkan usaha bantuan selepas tentera menggerakkan sebuah kapal pengangkut pesawat, 20 helikopter dan konvoi lori untuk menghantar makanan, ubat-ubatan serta bot kecil, selain mengeluarkan rayuan awam agar bot dan jet ski digunakan untuk mencapai mangsa yang terperangkap selama berhari-hari dalam air sedalam sehingga 2 meter.
Semalam, paras banjir mula surut di Hat Yai, bandar paling teruk terjejas di Thailand, dan pihak berkuasa yakin bahawa akses akan bertambah baik bagi membolehkan perkhidmatan asas dipulihkan.
“Usaha membantu orang ramai sedang diteruskan, namun keadaan banjir akan menjadi perjuangan yang panjang,” kata jurucakap kerajaan Thailand, Siripong Angkasakulkiat.
Hampir 3 juta orang terjejas akibat banjir di selatan Thailand, dengan ribuan berlindung di pusat pemindahan. Di Malaysia pula, banjir serupa di tujuh negeri mengorbankan dua orang dan memaksa lebih 34,000 mangsa dipindahkan ke pusat perlindungan.
Ribut tropika musnahkan pulau Indonesia
Di Sumatera, pulau Indonesia yang mempunyai 60 juta penduduk, ribut tropika mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh, dengan sekurang-kurangnya 100 orang masih hilang, selain gangguan bekalan elektrik dan kerosakan infrastruktur yang menyukarkan usaha menyelamat.
Kompas TV menyiarkan imej tanah runtuh dari cerun bukit yang melonggok di hadapan rumah, sementara arus deras sedalam lebih 1 meter menghanyutkan sisa runtuhan dan dahan pokok.
Rakaman agensi mencari dan menyelamat menunjukkan orang ramai dibawa keluar dari rumah mereka melalui air deras dan dinaikkan ke dalam bot getah berwarna jingga ketika hujan lebat mencurah.
Imej yang disahkan dari Sumatera Barat menunjukkan pasukan penyelamat membawa mayat melalui lumpur tebal dan kereta yang tercabut dari kedudukan asal, bertindih antara satu sama lain selepas dihanyutkan arus banjir.
Ahli meteorologi berkata, keadaan cuaca ekstrem di Asia Tenggara ketika ini mungkin berpunca daripada interaksi dua sistem aktif: Taufan Koto di Filipina dan pembentukan luar biasa rebut tropika Senyar di Selat Melaka.
Pemanasan global boleh menyebabkan kejadian ekstrem menjadi lebih kerap apabila suhu permukaan laut yang lebih tinggi menguatkan ribut tropika.
Banjir terbaru ini menyusuli siri taufan maut dan hujan monsun lebat yang melanda Filipina dan Vietnam serta meningkatkan banjir di beberapa kawasan lain.
Ketibaan bantuan tentera
Semalam, Kor Jurutera Tentera Thailand yang dilengkapi kenderaan khas dan 2,000 anggota pertahanan awam tiba di Hat Yai, bandar kelima terbesar di Thailand, dengan helikopter menghantar makanan ke hospital dan mangsa yang masih terperangkap di atas bumbung.
Di Hat Yai, ribuan orang terperangkap akibat hujan paling lebat dalam 15 tahun, dengan 335 mm direkodkan pada Jumaat, jumlah tertinggi dalam sehari bagi tempoh 300 tahun.
Rakaman udara di bawah langit mendung menunjukkan jalan raya ditenggelami air perang, dengan trak berat bergerak perlahan melalui laluan utama yang dipenuhi kereta dan lori ditinggalkan, sementara kumpulan penduduk meredah air sedalam paras lutut.
“Saya sedang berjalan pulang kepada nenek saya kerana dia sudah dua atau tiga hari tidak mendapat makanan. Saya dengar dia akhirnya menerima sedikit makanan, tetapi saya masih risau,” kata Natawat Chermmontri, 18 tahun, sebelum menyelam ke dalam air untuk berenang menyeberangi jalan.
Amaran ribut tropika
Paras air semakin surut di Malaysia, namun pihak berkuasa, semalam mengeluarkan amaran baharu mengenai ribut tropika sehingga hujung minggu, yang boleh membawa angin kencang, laut bergelora dan hujan lebat berterusan yang memberi kesan kepada tujuh negeri.
Lori kontena digunakan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Thailand, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana kenderaan kecil tidak dapat melalui banjir. Pihak berkuasa berkata, kira-kira 500 rakyat Malaysia masih terkandas di Hat Yai, bandar yang popular dalam kalangan pelancong Malaysia.
Di sebuah pusat pemindahan di Perlis, Gon Qasim berkata air yang semakin naik memerangkap dirinya di rumah di tengah-tengah sawah padi.
“Air itu seperti laut,” kata wanita berusia 73 tahun itu.
Di Thailand, polis berkata mereka membantu 1,000 warga asing yang terperangkap dengan memindahkan mereka ke pusat perlindungan di sebuah universiti.
Di sebuah gelanggang bola keranjang tertutup yang dijadikan pusat pemindahan, Kritchawat Sothiananthakul, 70, dalam keadaan berlinang air mata, menggambarkan keadaan air di rumahnya di Hat Yai naik tanpa henti sementara dia menunggu bersama anjingnya untuk diselamatkan.
“Kami terpaksa turun dari bumbung, naik bot,” katanya. “Saya terpaksa dukung anjing saya dan naik ke atas trak… Kami terpaksa tinggalkan semuanya kerana semuanya sudah tenggelam.” – REUTERS
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi