Sabah tidak mampu ulangi isu tiga serangkai dalam satu lagi PRN

BANGI, 6 JAMADILAKHIR – Di sebalik kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, isu yang menjadi perkara asas kepada penduduk negeri ini sejak beberapa dekad lalu, iaitu air, elektrik dan jalan raya kekal menjadi fokus utama.

Isu tiga serangkai bukan sekadar slogan untuk ahli politik memancing undi dalam PRN atau Pilihan Raya Umum (PRU), tetapi realiti harian bagi ratusan ribu penduduk Sabah, terutama di kawasan pedalaman, pinggir bandar dan pulau terpencil.

Data rasmi menunjukkan jurang pembangunan yang ketara dan berpanjangan apabila Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), dalam laporan Poverty in Malaysia (Kemiskinan di Malaysia) 2024, meletakkan Sabah sebagai negeri termiskin di negara ini dengan kadar kemiskinan 17.7 peratus.

Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi mencerminkan keadaan hidup sebahagian besar rakyat yang masih terperangkap dalam kitaran kekurangan kemudahan asas, terutama air terawat, bekalan elektrik stabil dan jalan yang boleh dilalui sepanjang tahun. 

Rakyat makin sangsi 

Keadaan ini membentuk latar politik yang kompleks. Di hampir setiap ceramah kempen PRN 2025, calon dari semua gabungan memberi perhatian kepada isu tiga serangkai, menawarkan pelbagai janji naik taraf infrastruktur serta projek sambungan grid. 

Namun, rakyat semakin sangsi kerana sebahagian besar masalah tersebut berlarutan merentasi empat hingga lima pentadbiran negeri. 

Sebahagian penganalisis melihat tema kempen kali ini sebagai ujian keupayaan gabungan dan calon untuk mengemukakan pelan yang lebih konkrit, memandangkan masalah air, elektrik dan jalan raya menjadi antara isu terbesar yang menjejaskan ekonomi isi rumah, pergerakan logistik dan kualiti hidup luar bandar.

Tidak dinafikan bahawa faktor geografi masih menjadi antara cabaran utama. Sabah mempunyai keluasan hampir menyamai Semenanjung Malaysia, dengan corak penempatan yang bertaburan dan akses fizikal yang mencabar.

Kos membina rangkaian paip baharu, kabel elektrik dan jalan raya sentiasa lebih tinggi berbanding negeri lain. Projek-projek “last-mile” sering tertangguh kerana kos logistik, kekurangan kontraktor tempatan berkemampuan, atau isu teknikal yang memerlukan kelulusan Persekutuan. Dalam beberapa kes, projek siap tidak bertahan lama akibat ketiadaan peruntukan penyelenggaraan.

Tadbir urus sumbang kelewatan

Namun bukan faktor geografi semata-mata yang dipersalahkan. Pegawai teknikal negeri dan beberapa pemerhati politik berpendapat masalah tadbir urus turut menyumbang kepada kelewatan penyelesaian.

Pengagihan kuasa antara agensi persekutuan, kerajaan negeri dan pihak konsesi menjadikan proses perolehan serta pelaksanaan projek menjadi terlalu panjang. Ketika tempoh pilihan raya terdahulu, beberapa projek air dan elektrik diumumkan, namun gagal disiapkan sepenuhnya atau lebih teruk, langsung tidak dimulakan.

PRN kali ini memperlihatkan kesungguhan baharu semua parti politik untuk menampilkan pendekatan lebih menyeluruh. Manifesto pelbagai gabungan memberi penekanan kepada infrastruktur sebagai asas pembangunan ekonomi, termasuk cadangan mengukuhkan grid elektrik Southern Link, pembinaan loji rawatan air modular dan pembinaan jalan penghubung utama ke kawasan pedalaman.

Namun perincian mengenai pembiayaan, kaedah pelaksanaan dan jaminan penyelenggaraan masih kabur dalam kebanyakan pengumuman, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan jangka panjang.

Hakikatnya, isu tiga serangkai juga berkait rapat dengan kemiskinan multidimensi di Sabah. Di banyak kawasan seperti Pitas, Tongod, Kota Marudu dan Nabawan, keluarga yang hidup tanpa bekalan air terawat atau jalan yang boleh dilalui setiap hari berada dalam keadaan rentan.

Kekerapan gangguan elektrik menjejaskan peniaga kecil, sekolah dan klinik kesihatan. Selagi masalah ini tidak ditangani dengan pendekatan sistematik, kadar kemiskinan Sabah sukar dikurangkan secara bermakna.

Pelan penyelenggaraan jangka panjang 

PRN kali ini boleh menjadi pemangkin penyelesaian jika kerajaan baharu yang bakal dipilih berani memperkenalkan pelan berfasa dengan Indeks Petunjuk Utama (KPI) yang jelas dan boleh diaudit.

Pelan tersebut perlu menekankan pelaksanaan cepat untuk kawasan paling kritikal, pelaburan berskala sederhana melalui teknologi seperti mikrogrid solar dan sistem air modular, serta reformasi tadbir urus yang menyatukan peranan agensi di bawah satu pusat koordinasi.

Penganalisis turut mencadangkan keperluan pelan penyelenggaraan jangka panjang yang dipisahkan daripada politik, agar projek infrastruktur tidak bergantung kepada pertukaran kerajaan.

Rakyat Sabah telah mendengar janji mengenai air, elektrik dan jalan selama puluhan tahun. PRN 2025 menawarkan peluang bagi gabungan dan ahli politik membuktikan bahawa janji kali ini datang bersama pelan pelaksanaan yang serius, pembiayaan yang telus dan mekanisme pemantauan yang berkesan.

Dalam keadaan kemiskinan yang masih tinggi dan ketidaksamarataan kemudahan asas yang jelas, Sabah tidak boleh lagi menunggu satu lagi PRN untuk melihat perubahan.

Oleh: Ziauddin Sharuddin, wartawan TV Pertiwi

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hormat pelabur tak bermaksud boleh gadaikan maruah bahasa Melayu – PERKASA

Next Post

Sentimen kaum, agama: “Yang selalu bawa isu ini geng kamu” – Isham bidas Anwar

Related Posts