BANGI, 5 JAMADILAKHIR – Fokus sistem persekolahan perlu kembali kepada asas sebenar iaitu mengutamakan ilmu dan bukan mengejar kedudukan atau ‘ranking’ seperti membanding-bandingkan prestasi antara pelajar.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Mohd Nor Izzat Johari atau lebih dikenali sebagai Cikgu Izzat berkata, tujuan sebenar peperiksaan adalah untuk penilaian kendiri bagi mengenalpasti tahap pemahaman pelajar itu terhadap silibus yang diajar.
Bagaimanapun katanya, ramai termasuk ibu bapa masih terperangkap dengan mentaliti yang melihat peperiksaan sebagai pertandingan dan sering membandingkan keputusan anak-anak sesama keluarga dan jiran.
Jelas beliau, salah faham mengenai konsep peperiksaan sebenarnya sudah lama berakar umbi, namun katanya ramai juga yang semakin sedar bahawa keputusan peperiksaan adalah panduan untuk menilai keperluan pendidikan yang sewajarnya.
“Ada ibu bapa yang hanya melihat keputusan anaknya. Kalau anak dapat 5A, mereka fikir anak perlu dibawa ke laluan lebih mencabar.
“Kalau dapat 1A atau 2A, mereka rancang laluan berbeza untuk memperbaiki kelemahan. Itu penilaian individu yang betul,” katanya kepada TV Pertiwi.
Dalam pada itu, Cikgu Izzat turut menolak tanggapan kononnya guru yang membawa budaya perbandingan antara pelajar dan menyifatkan ia berpunca daripada tekanan luar seperti Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Pendidikan (KPM) Sendiri.

Ujarnya, tekanan-tekanan ini yang akhirnya menjadikan markah dan jumlah pencapaian A sebagai pengukur prestasi pelajar dan sekolah.
Menurut beliau campur tangan pentadbiran menerusi ‘tangan-tangan ghaib’ dalam menentukan naratif kejayaan sekolah telah lama menjejaskan tumpuan asal peperiksaan.
Beliau turut meluahkan kebimbangan apabila kebergantungan kepada statistik seperti bilangan pelajar cemerlang atau prestasi negeri menyebabkan fungsi peperiksaan sebagai alat pembelajaran semakin terpinggir.
“Kalau dulu, dapat 40 atau 50 marakah belum tentu lulus. Hari ini, 22 markah pun sudah lulus. Maknanya IQ (murid hari ini) direndahkan lagi. Di sini saya nampak ini tidak betul. Peperiksaan telah dicacamarbakan fungsinya,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menggesa supaya KPM mengembalikan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) – atau nama lamanya, Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Beliau berkata, Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang diguna pakai sekarang adalah tidak berpusat dan bergantung kepada bank soalan yang dipilih mengikut kesesuaian sekolah masing-masing.
Katanya, ini menimbulkan ketidakseragaman dalam penilaian murid antara negeri atau sekolah, sekali gus memudarkan fungsi peperiksaan nasional itu sendiri.
“Lebih membimbangkan, ketidaksamaan aras soalan antara kelas atau sekolah berpotensi mengulangi isu lama – guru dipersalahkan apabila keputusan tidak selari dengan jangkaan pentadbir atau ibu bapa,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi