Singapura arah TikTok, Meta sekat akaun bekas tahanan ISA suarakan isu Melayu-Islam

SINGAPURA, 5 JAMADILAKHIR –  Pihak berkuasa mengarahkan TikTok dan Meta untuk menyekat akses di negara ini terhadap akaun seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang didakwa berulang kali memuat naik hantaran menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam tempatan terhadap komuniti Cina.

Menurut Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA), Zulfikar Mohamad Shariff, yang melepaskan kewarganegaraan Singapura pada 2020 dan kini merupakan warga Australia, didakwa menghasut perasaan “permusuhan, kebencian, niat jahat dan sikap bermusuhan, penghinaan serta ejekan terhadap pelbagai kumpulan kaum dan agama di Singapura.” 

Dalam satu contoh yang dikemukakan MHA, lelaki berusia 54 tahun itu memuat naik video TikTok pada 19 Jun, dengan dakwaan palsu bahawa masyarakat Melayu/Islam dipaksa menjauhi Islam dan diasimilasikan ke dalam komuniti Cina di Singapura.

Kementerian itu turut mendakwa, beberapa hantaran lain membawa mesej berunsur hasutan yang sama.

“Kerajaan menerima banyak maklum balas daripada orang ramai, termasuk beberapa laporan polis, bahawa hantaran Zulfikar mengancam keharmonian kaum dan agama di Singapura,” katanya.

Polis Singapura telah mengeluarkan Arahan Sekatan Akaun dan Arahan Penyahaktifan mengikut Akta Jenayah Dalam Talian.

TikTok diarahkan menghadkan akses kepada akaun Zulfikar, manakala Meta diperintahkan menyahaktifkan halaman Facebooknya di Singapura.

“Tindakan ini akan menghalang akaun/halaman Zulfikar daripada terus berkomunikasi di Singapura dan menjejaskan keharmonian kaum serta agama kita,” kata MHA.

Kementerian itu menambah bahawa polis turut memulakan siasatan terhadap Zulfikar atas “tingkah laku melampau” 

Zulfikar pernah ditahan mengikut ISA pada 2016 kerana didakwa mempromosikan keganasan dan memuliakan kumpulan militan Daesh (Negara Islam Iraq dan Syria) secara dalam talian, dan tindakannya menyumbang kepada radikalisasi sekurang-kurangnya dua rakyat Singapura lain.

Beliau juga pernah menggesa umat Islam menolak negara sekular berperlembagaan dan sistem demokrasi, sebaliknya menyokong pembentukan sebuah negara Islam berasaskan hukum syariah, serta percaya bahawa keganasan wajar digunakan jika perlu bagi mencapai matlamat tersebut, menurut MHA.

Menjawab pertanyaan CNA, MHA berkata ini bukan kali pertama arahan begini dikeluarkan mengikut Akta Jenayah Dalam Talian.

Sejak akta itu berkuat kuasa pada Februari 2024, polis mengeluarkan pelbagai arahan, termasuk arahan sekatan akaun dan arahan penyahaktifan bagi mengehadkan pendedahan pengguna Singapura kepada aktiviti jenayah dalam talian seperti penipuan dan kegiatan siber berbahaya.

Akta tersebut membenarkan pihak berkuasa yang relevan mengarahkan penyedia perkhidmatan dalam talian melaksanakan apa-apa sistem, proses atau langkah jika didapati perlu atau wajar untuk menangani sesuatu kesalahan.

Ketika Pilihan Raya Umum 2025, Pihak Berkuasa Pembangunan Media Infokom (IMDA) mengeluarkan arahan pembetulan mengikut Akta Pilihan Raya Parlimen kepada Meta untuk menyekat akses pengguna Singapura kepada bahan iklan pilihan raya dalam talian di Facebook yang diterbitkan oleh Zulfikar.

Menurut MHA dan Jabatan Pilihan Raya, Zulfikar dalam salah satu hantarannya menuduh beberapa Ahli Parlimen Melayu-Muslim gagal mewakili kepentingan komuniti Muslim, dan mendakwa bahawa masyarakat Muslim tidak memerlukan seorang lagi MP Melayu yang tidak mencerminkan pandangan mereka.

“Orang asing tidak boleh mengarahkan, membiayai atau mempengaruhi pilihan raya Singapura dalam apa jua cara. Ia adalah satu kesalahan mengikut Akta Pilihan Raya Parlimen bagi warga asing untuk terlibat dalam aktiviti pilihan raya atau menerbitkan iklan pilihan raya dalam talian,” kata pihak berkuasa ketika itu.

“Politik Singapura mesti ditentukan oleh rakyat Singapura semata-mata.”

Sementara itu, Zulfikar dalam laman Facebooknya, menulis: “Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah mengarahkan TikTok dan Meta untuk menghalang rakyat Singapura daripada mengakses halaman saya. Anda masih boleh mengikuti saya di saluran lain, insya-Allah.”

Beliau kemudian memberikan pautan beberapa pilihan lain melalui saluran WhatsApp, Telegram, Substack, Youtube, TikTok, Instagram dan X. 


Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

SPRM bebas siasat Shamsul Iskandar, kata Anwar

Next Post

SPRM akan panggil Shamsul Iskandar dan Albert Tei

Related Posts