GENEVA, 5 JAMADILAKHIR – Perang Gaza selama dua tahun dan sekatan ekonomi di Tebing Barat yang diduduki Israel menyebabkan kejatuhan ekonomi Palestin paling parah pernah direkodkan, sekali gus menghapuskan pembangunan selama beberapa dekad.
Mengikut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ekonomi Palestin di seluruh Tebing Barat dan Gaza merosot sebanyak 30 peratus pada 2024 berbanding 2022, angka asas yang digunakan untuk mengukur kesan perang Israel-Hamas selama dua tahun,
Berdasarkan laporan Agensi Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD), kejatuhan itu adalah paling drastik sejak pengumpulan data bermula pada 1972, jauh melebihi kemerosotan ekonomi ketika konflik besar sebelum ini. termasuk Intifada Kedua selepas kegagalan rundingan damai pada 2000.
“Apa yang kita lihat hari ini amat membimbangkan. Operasi ketenteraan yang berlarutan, digabungkan dengan sekatan yang sudah lama wujud, menolak ekonomi wilayah Palestin yang diduduki ke dalam kemerosotan terdalam pernah dicatat,” kata Timbalan Setiausaha Agung UNCTAD, Pedro Manuel Moreno kepada wartawan di Geneva.
Menurut laporan itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita jatuh semula ke paras tahun 2003, sekali gus memadamkan kemajuan pembangunan selama 22 tahun, menjadikan krisis berkenaan sebagai antara 10 yang terburuk di dunia sejak 1960.
Skala kemusnahan di Gaza selepas perang dua tahun antara Israel dan Hamas bermakna wilayah itu akan bergantung kepada sokongan antarabangsa yang besar untuk bertahun-tahun akan datang.
“Ia akan mengambil masa berdekad-dekad untuk Gaza kembali menghasilkan lebih daripada apa yang pernah dihasilkan sebelum konflik, dan untuk pulih sepenuhnya. Sudah tentu, hanya jika semua keadaan berjalan ke arah yang betul,” kata Ahli Ekonomi UNCTAD, Rami Al Azzeh dalam taklimat itu.
Perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober di Gaza, tetapi serangan udara Israel masih berterusan, bantuan masuk sangat perlahan, keadaan di Gaza kekal genting dan risiko pembahagian wilayah secara efektif dilihat meningkat di bawah rancangan Trump.
KDNK per kapita di Gaza kini hanya AS$161 setahun atau kira-kira 44 sen seorang sehari, kata Al Azzeh yang menyifatkannya sebagai paras terendah di mana-mana tempat di dunia.
Menurut laporan PBB itu, Tebing Barat juga mengalami kemerosotan paling teruk pernah direkodkan, didorong oleh sekatan pergerakan dan akses serta kehilangan peluang ekonomi.
Keganasan pelampau peneroka Yahudi yang semakin buruk terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat turut menghalang petani daripada mengakses tanaman dan haiwan ternakan mereka, kata pegawai UNCTAD, Mutasim Elagraa.
“Itu adalah salah satu daripada banyak faktor yang jelas merosakkan ekonomi Palestin dan memburukkan lagi masalah ekonomi,” katanya. – REUTERS
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi