Jemaah haji, Asmah Mansor akhirnya pulang ke tanah air selepas rawatan di Makkah

BANGI, 4 JAMADILAKHIR – Asmah Mansor, yang diuji dengan masalah kesihatan apabila selesai ibadah haji dan dirawat di Hospital Saudi German, Makkah sejak 13 September lalu selamat tiba di Malaysia, malam tadi.

Pesawat khas yang membawa Asmah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pada 4.30 pagi (waktu tempatan), ditemani seorang doktor dan jururawat, mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 8.15 malam.

Asmah, 71, dari Kuala Selangor, kemudian dibawa menaiki ambulans ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam hantaran di laman Facebook, hari ini berkata, beliau turut ke Hospital Putrajaya, menyambut kepulangan Asmah.

Menurutnya, Asmah tiba ke Malaysia selepas menaiki ambulans udara dari Jeddah, sebuah penerbangan hampir 10 jam yang bukan mudah untuk keadaan kesihatannya.

Katanya, perjalanan jemaah haji itu diikuti rapat sejak awal dari koordinasi Tabung Haji, pasukan perubatan Arab Saudi, kru ambulans udara, sehinggalah saat pintu pesawat dibuka dan dibawa turun dengan penuh berhati-hati.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Tabung Haji dan juga kerajaan Arab Saudi yang memastikan misi ini berjalan dengan lancar. Kini, Hajah Asmah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya. 

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pasukan perubatan Hospital Putrajaya yang bersedia menerima dan merawat beliau dengan penuh profesionalisme dan kasih insan,” katanya. 

Beliau menyifatkan ketibaan Asmah bukan sekadar satu misi perubatan, tetapi sebuah perjalanan solidariti rakyat Malaysia serta mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan, menyumbang dan bersama memastikan usaha membawa pulang Asmah dapat direalisasikan.

Mohd Na’im sebelum ini dilaporkan berkata, misi membawa pulang Asmah yang dirawat di Makkah akibat pneumonia dimulakan setelah jumlah sumbangan untuk membiayai kos itu, kira-kira RM500,000 mencukupi.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

58 pusat undi awal dibuka, 24,426 tentera, polis dan pasangan mengundi

Next Post

‘Berpuluh tahun merdeka, mana boleh cuai bab bendera negara’

Related Posts