BANGI, 4 JAMADILAKHIR – Kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa majoriti kes kesalahan mempamerkan Jalur Gemilang berlaku akibat kecuaian dan bukan bertujuan menghina, mengundang reaksi tegas rakyat yang berpendapat alasan itu tidak wajar diterima.
Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah berkata majoriti kes berkaitan bendera kebangsaan dipamerkan secara salah berpunca daripada kesilapan manusia, bukan perbuatan sengaja.
“KDN ambil maklum sebahagian besar kes pemasangan bendera terbalik adalah akibat kecuaian, bukan niat untuk menghina. Ini fakta yang kita ada,” katanya.
Bagaimanapun, di media sosial ramai netizen menegaskan bahawa selepas lebih 60 tahun Malaysia merdeka, isu pemasangan bendera terbalik, warna yang salah atau susunan Jalur Gemilang tidak mengikut protokol sepatutnya tidak lagi berlaku.
Menurut mereka, Jalur Gemilang bukan sekadar hiasan, tetapi simbol kedaulatan negara yang menuntut rasa hormat dan ketelitian asas daripada setiap warga.
“Berpuluh tahun merdeka, takkan cara pasang bendera pun masih ‘cuai’?” kata seorang pengguna Facebook.
Seorang lagi menulis: “Kalau bab bendera pun boleh cuai, macam mana kita nak harap rakyat jaga benda lebih besar? Ini soal maruah negara.”
Netizen turut berpendapat bahawa kesilapan berkaitan Jalur Gemilang tidak harus dianggap remeh, memandangkan banyak negara lain mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan yang menjejaskan simbol negara.
Mereka menolak alasan kecuaian kerana ia dilihat menggalakkan sikap sambil lewa yang akhirnya merendahkan imej Malaysia di mata dunia.
Ada yang menggesa pihak berkuasa memperketat pemantauan serta memastikan tindakan lebih konsisten supaya kes sama tidak terus berulang saban tahun.
“Kalau terus terima alasan ‘cuai’, sampai bila pun tak selesai,” kata seorang pengguna X.
Bagi rakyat, menghormati Jalur Gemilang bukan hanya tanggungjawab ketika musim perayaan kemerdekaan, tetapi sebahagian daripada jati diri dan identiti kebangsaan.
Mereka berharap KDN menilai semula pendekatan serta memperkukuh pendidikan awam agar isu sama tidak terus berulang.