Israel umum langkah haram rampas tapak bersejarah Tebing Barat

BANGI, 30 JAMADILAWAL – Negara haram Israel sedang merancang untuk merampas sebahagian besar kawasan tapak bersejarah utama di Tebing Barat yang diduduki,

Pada masa sama, peneroka haram Yahudi mendirikan sebuah pos penempatan baharu pada waktu malam, meskipun negara itu berdepan tekanan supaya mengambil tindakan tegas terhadap keganasan peneroka di wilayah Palestin.

Pentadbiran Awam Israel mengumumkan hasrat untuk merampas kawasan Sebastia yang luas, sebuah tapak arkeologi utama di Tebing Barat, dalam dokumen yang diperoleh Associated Press (AP), semalam.

Sebuah kumpulan pemantau anti-penempatan haram, Peace Now, berkata kawasan itu dipercayai berkeluasan sekitar 450 ekar, rampasan tanah arkeologi terbesar oleh Israel setakat ini.

Langkah itu dibuat ketika peneroka Israel meraikan penubuhan sebuah penempatan baharu yang tidak dibenarkan berhampiran Bethlehem, dan seorang peguam Palestin berkata seorang aktivis Tebing Barat telah ditahan dan dimasukkan ke hospital.

Sementara itu, Human Rights Watch (HRW) berkata, Israel melakukan jenayah perang apabila mengusir secara paksa kira-kira 32,000 rakyat Palestin dari tiga kem pelarian di Tebing Barat, tahun ini.

Israel rampas tapak warisan

Perintah yang dikeluarkan pada 12 November lalu, menyenaraikan kawasan tanah yang ingin dirampas di Sebastia. Peace Now yang menyediakan dokumen itu kepada AP, berkata tapak arkeologi popular itu, tempat ribuan pokok zaitun tumbuh adalah milik rakyat Palestin.

Tapak itu dipercayai sebagai lokasi pengebumian Nabi Yahya (John the Baptist) oleh penganut Kristian dan Muslim.

Israel mengumumkan rancangan untuk membangunkan tapak tersebut sebagai destinasi pelancongan pada 2023.

Kerja-kerja ekskavasi sudah bermula dan Israel memperuntukkan lebih AS$9.24 juta untuk membangunkan kawasan itu, menurut Peace Now..

Perintah tersebut memberi tempoh 14 hari kepada rakyat Palestin untuk membantah pengisytiharan itu.

Kawasan terbesar tapak bersejarah yang pernah dirampas Israel sebelum ini ialah 70 ekar di Susya, sebuah kampung di selatan Tebing Barat yang diduduki, kata Peace Now.

Peneroka tubuhkan pos haram baharu

Peneroka haram Yahudi berkata, mereka telah menubuhkan sebuah pos baharu berhampiran Bethlehem.

Pengerusi Majlis Peneroka Etzion tempatan, Yaron Rosenthal, mengalu-alukan penubuhan penempatan tersebut.

Pos baharu itu terletak berhampiran persimpangan sibuk, tempat seorang warga Israel ditikam hingga mati pada Selasa lalu.

Hamas tidak mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, tetapi dalam satu kenyataan menyifatkannya sebagai “tindak balas normal terhadap usaha penjajah untuk memusnahkan perjuangan Palestin,” serta berikrar bahawa pencerobohan Israel “tidak akan dibiarkan tanpa tindak balas.”

Pengarah Program Pemantauan Penempatan Peace Now, Hagit Ofran, berkata pos itu dibina di atas tanah yang pernah menjadi pangkalan tentera Israel. Gambar yang dikongsi peneroka dalam talian menunjukkan rumah-rumah sementara dan jentolak di lokasi tersebut.

Israel menawan Tebing Barat, Baitul Maqdis Timur dan Gaza, wilayah yang dikhaskan untuk negara Palestin masa depan dalam perang 1967. Negara haram itu menempatkan lebih 500,000 peneroka Yahudi di Tebing Barat, kebanyakan di penempatan haram, selain lebih 200,000 di Baitul Maqdis Timur yang dipertikaikan.

Kerajaan Israel kini dikuasai oleh tokoh pelampau kanan yang menyokong gerakan peneroka haram, termasuk Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, yang menggubal dasar penempatan, dan Menteri Kabinet, Itamar Ben-Gvir, yang mengetuai pasukan polis negara itu.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan keganasan oleh peneroka haram Israel di Tebing Barat yang diduduki.

“Saya harap tidak,” kata Rubio kepada wartawan baru-baru ini, ketika ditanya sama ada perkembangan di Tebing Barat boleh menjejaskan gencatan senjata Gaza.

“Kami tidak menjangkakan begitu. Kami akan lakukan segala yang boleh bagi memastikan ia tidak berlaku.” – TRT WORLD

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hapuskan rasuah, benamkan kronisme di Sabah – Pemuda PAS

Next Post

Badan Peguam Malaysia gesa pelantikan JAC lebih telus

Related Posts