BANGI, 30 JAMADILAWAL – Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa gejala rasuah dan kronisme di Sabah kini berada pada tahap kritikal dan memerlukan tindakan segera daripada rakyat.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi parti itu, Pemuda PAS berkata:
“Rasuah di Sabah ini bukan sudah biasa-biasa bah. Bukan setakat ribu-ribu, bahkan juta-juta dan billion pun ada. Itu belum cerita lagi bab kronisme yang berlaku dalam kalangan pemimpin-pemimpin Sabah selama ni.”
Menurut kenyataan tersebut, isu terpanas di Sabah kini melibatkan lesen cari gali arang batu, lengkap dengan hak eksplorasi yang meliputi kawasan hutan simpan yang luas.
Pemuda PAS menyifatkan situasi itu seolah-olah khazanah negeri diagih sesuka hati kepada orang tertentu.
“Belum campur lagi kes konsesi pembalakan 100 tahun yang diberikan kepada anak-beranak sendiri. Inilah antara punca kenapa Sabah yang kaya… tetap miskin di tangan mereka,” tegas kenyataan itu.
Pemuda PAS juga merujuk kepada bekas Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah yang pernah menyatakan bahawa kes rasuah yang melibatkan kontraktor bagi kerja-kerja pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan di Sabah adalah sangat tinggi dan membimbangkan.
“Susahlah begini. Macam mana negeri Sabah hendak maju kalau gejala rasuah ini berterusan di Sabah. Maka, rakyat Sabah perlu noktahkan perkara ni.
“Ayuhlah pilih pemimpin yang bersih dan berintegriti demi menjadikan negeri Sabah sebagai sebuah negeri yang maju dan bebas rasuah,” menurut kenyataan Pemuda PAS itu.
Justeru, Pemuda PAS menyeru rakyat Sabah agar menolak amalan rasuah dan kronisme dengan memilih pemimpin yang berintegriti demi kemajuan negeri.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi