BANGI, 29 JAMADILAWAL – Masalah kewangan menyebabkan sebanyak 50 peratus jemaah haji yang terpilih tahun ini, direkodkan menolak tawaran untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit Tabung Haji (TH) juga direkodkan mempunyai simpanan kurang RM1,300.
Katanya, ini menyebabkan pendeposit dengan baki simpanan kurang RM1,300 belum layak menunaikan haji kerana jumlah itu tidak mencukupi bagi tujuan berkenaan.
“TH kini kurang dilihat sebagai institusi penabungan yang mampu menarik simpanan konsisten biarpun ditubuhkan dengan dua matlamat Utama, iaitu sebagai institusi penabungan dan organisasi memudah cara perjalanan haji umat Islam ke Tanah Suci.
“Peranan TH sebagai institusi penabungan mula terkesan apabila perlu bersaing dengan produk simpanan atau pelaburan lain yang lebih menarik seperti unit amanah, emas, simpanan pendidikan dan skim persaraan swasta,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai kos keseluruhan projek penjenamaan semula TH serta jumlah akhir peruntukan kewangan untuk projek itu sudah dimuktamadkan dan sumber kewangan digunakan.
Mengambil kira semua faktor itu dan berdasarkan data dan trend kajian teliti yang dilaksanakan, Mohd Na’im berkata, TH perlu mengambil langkah strategik dengan melaksanakan peremajaan jenama bagi memastikan kekal relevan.
Menurutnya, ini terutama dalam usaha menarik lebih ramai umat Islam menabung secara konsisten bagi menunaikan haji, selain matlamat inisiatif itu bertujuan menyusun semula strategi untuk meningkatkan kembali paras simpanan individu pendeposit yang kini amat rendah.
“Bagi tiga tahun terkini, simpanan terkumpul hanya meningkat melalui pelaburan semula agihan keuntungan, bukan secara organik,” katanya.
Sementara itu mengulas mengenai kos penjenamaan semula TH, beliau berkata, peruntukan untuk perkhidmatan syarikat konsortium perunding bagi inisiatif peremajaan jenama itu bernilai RM5.9 juta atau kira-kira RM2 juta setahun bagi tempoh tiga tahun, seperti diperjelaskan pada 16 Ogos lalu.
Setakat ini, katanya TH membelanjakan RM1.9 juta berdasarkan kemajuan pencapaian semasa, selari tempoh masa dipersetujui, selain masih memperhalusi kerja lanjutan diperlukan bagi inisiatif berkenaan dan ia belum dimuktamadkan.
“Hanya peruntukan kos perunding yang dimuktamadkan, tiada sebarang kontrak lain dimeterai setakat ini. Peruntukan ini juga mengguna pakai bajet tahunan sedia ada bagi aktiviti pemasaran dan komunikasi TH,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi