BANGI, 27 JAMADILAWAL – Kolaborasi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berpotensi menjadi ancaman kepada pengaruh parti-parti politik tempatan, kata Profesor Sosiologi Politik, Prof Dr Novel Lyndon.
Beliau berkata, ini kerana gabungan PH-BN dilihat mampu menenggelamkan naratif perjuangan setempat melalui kekuatan jentera parti-parti nasional itu.
Bagaimanapun, Novel berkata, keberkesanan kerjasama PH-BN bergantung kepada kemampuan membina naratif bahawa kolaborasi tersebut akan membawa kestabilan serta manfaat langsung kepada rakyat Sabah.
“Kolaborasi antara PH dan BN mempunyai implikasi dua hala. Datu satu sisi, kerjasama ini boleh dilihat sebagai langkah pragmatik kerana ia dapat menyatukan sumber-sumber dan menghindarkan pertikaian antara parti pemerintah dalam usaha menentang blok pembangkang tempatan.
“Sebaliknya, gabungan ini mungkin mencetuskan persepsi negatif di kalangan pengundi Sabah kerana mereka melihatnya sebagai kompromi politik yang kabur dari segi prinsip.
“Parti-parti tempatan seperti Warisan mungkin menganggap kerjasama ini sebagai ancaman kepada pengaruh mereka kerana ia berpotensi menenggelamkan naratif perjuangan,” katanya kepada TV Pertiwi.
PRN Sabah yang akan berlangsung pada 29 November depan menyaksikan PH bertanding 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala BN meletakkan seramai 45 calon.
Parti Warisan menjadi satu-satunya parti yang bertanding di semua 73 kerusi manakala Parti Impian Sabah (PIS) bertanding 72 kerusi dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – yang merupakan kerajaan sebelum ini – bertanding di 55 kerusi.
Mengulas mengenai keputusan UPKO untuk keluar daripada PH menjelang PRN Sabah, Novel berkata, tindakan itu mungkin bersifat taktikal untuk membuktikan bahawa parti itu bebas daripada ‘cengkaman’ parti politik dari Semenanjung.
Katanya, ini bagi menandakan bahawa perjuangan Sabah menjadi keutamaan tanpa perlu mengikut telunjuk daripada parti politik luar negeri itu.
Namun, daripada sudut lain, beliau berkata, langkah ini juga boleh ditafsir sebagai strategi tawar-menawar politik demi memastikan relevansi dalam suasana politik negeri yang semakin padat.
“Dalam tradisi politik Sabah, keluar atau berpindah gabungan bukanlah sesuatu yang luar biasa tetapi mencerminkan realiti pragmatik dan kelangsungan politik.
“Sama ada tindakan itu gimik atau berprinsip akan ditentukan oleh konsistensi UPKO selepas PRN jika mereka terus mempertahankan pendirian ‘Sabah-first’, maka langkah tersebut boleh dianggap sejajar dengan prinsip perjuangan autonomi negeri,” tambahnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi