BANGI, 26 JAMADILAWAL – Isu korupsi yang dikaitkan dengan pentadbiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berpotensi memberi impak besar terhadap imej Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Profesor Sosiologi Politik, Prof Dr Novel Lyndon.
Beliau berkata, situasi ini akan menyebabkan GRS berdepan cabaran besar dalam mempertahankan legitimasi di mata pengundi yang bakal menentukan pembentukan kerajaan negeri pada 29 November depan.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya kerajaan negeri mampu menunjukkan tindakan tegas serta ketelusan dalam memperbaiki sistem pentadbiran, ia boleh meredakan isu tersebut tanpa menjejaskan keputusan pilihan raya secara langsung.
“Dalam konteks politik moden, persepsi mengenai rasuah tidak lagi mudah disembunyikan hanya menerusi naratif pembangunan atau bantuan material semata-mata.
“Pengundi bandar, kelas menengah serta golongan muda semakin peka terhadap isu moral dan integriti kepimpinan,” katanya kepada TV Pertiwi.
Mengulas lanjut, Novel berkata, GRS dan Parti Warisan kini dilihat sebagai dua entiti utama dominan dalam arena politik Sabah.
Katanya, GRS membawa sebagai imej pemerintah sedia ada dengan kekuatan sumber institusi manakala Warisan pula tampil sebagai alternatif yang mengetengahkan identiti tempatan bersama perjuangan akar umbi.
“Bilangan calon dari kedua-dua pihak mencerminkan kesungguhan untuk mendominasi pentas politik negeri, namun keputusan akhir bergantung kepada faktor-faktor setempat termasuk reputasi calon.
“PRN Sabah 2025 bakal menjadi ujian penting bagi arah tuju politik Malaysia Timur serta hubungan antara Persekutuan dengan negeri-negeri lain.
“Dinamik ketika ini memerlukan bukan sahaja parti kuat dari segi sumber tetapi juga pemimpin berbakat dalam mewujudkan nilai-nilai moral, integriti dan sensitiviti terhadap identiti lokal.
“Keputusan pilihan raya kali ini akan menentukan sama ada Sabah mampu terus berada dalam orbit nasional atau memulakan fasa baharu sebagai sebuah negeri yang benar-benar memperjuangkan prinsip ‘Sabah untuk Sabahan’ dengan agenda pembangunan berdasarkan integriti sebenar,” tambahnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi