KUALA LUMPUR, 23 JAMADILAWAL – Tindakan pemilik sebuah unit kediaman di Jalan Setiakasih 6, Bukit Damansara di sini yang didakwa memohon untuk menukar status rumahnya kepada premis menjual minuman keras menimbulkan kemarahan penduduk setempat.
Menurut seorang penduduk, Dr Barkeh Hanim Jumaat, perkara itu hanya disedari komuniti di situ sejak seminggu lalu selepas ternampak notis permohonan menjual minuman keras yang ditampal di dinding premis tersebut.
Menurut notis yang ditunjukkan kepada pihak media, permohonan itu dibuat melalui Lembaga Pelesenan Eksais Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Rumah ini adalah rumah pertama di permulaan jalan, ia sedang menjalani pengubahsuaian. Kami ingat pengubahsuaian untuk penghuni yang akan pindah di situ.
“Tetapi minggu lepas apabila saya melalui jalan tersebut, ada satu notis ditampal di dinding rumah. Ia mengatakan permohonan menjual minuman keras melalui Pengerusi Lembaga Eksais dan penjaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sebarang bantahan hendaklah dihantar kepada pengerusi.
“Apabila saya ternampak notis itu saya segera menghubungi semua penduduk di Jalan Setiakasih 6 dan kami telah memulakan proses bantahan dengan mengambil tanda tangan sebelum menghantar surat bantahan kepada pengerusi Lembagat Eksais,” katanya kepada media di Pusat Komuniti Bukit Damansara, semalam.
Tambah beliau, salinan surat bantahan turut dihantar kepada Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Presiden Persatuan Penduduk Kawasan Setiakasih Kuala Lumpur (PERKASIH).
Dalam pada itu, Barkeh Hanim berkata, komuniti di situ turut menuntut penjelasan daripada pihak DBKL berhubung status kediaman berkenaan.
“Adakah kediaman itu telah diberi status komersial kerana telah dibuat permohonan untuk menjual minuman keras.
“Ini adalah kawasan perumahan. Sekiranya nak buka premis komersial, banyak lagi bangunan-bangunan komersial lain yang ada di Bukit Damansara, Plaza Damansara dan sebagainya. Kerana apa perlu dibuat sedemikian?” soalnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi