Kedah tolak dakwaan Langkawi ‘merana’, statistik pelancongan tunjuk peningkatan

BANGI, 23 JAMADILAWAL – Kerajaan Kedah menyelar dakwaan Ahli Parlimen Jelutong bahawa penduduk Langkawi “merana” kerana tiada pelawat dan kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan yang disifatkan sebagai tidak berasas dan tidak mencerminkan realiti semasa di Pulau Langkawi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Dato’ Mohd Salleh Saidin, berkata tuduhan RSN Rayer yang dibuat tanpa sebarang bukti dan d tidak bertanggungjawab boleh menjejaskan imej dan reputasi Langkawi.

Menurutnya, data rasmi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menunjukkan bahawa sehingga Ogos lalu, Langkawi menerima kira-kira 2 juta pelancong, meningkat berbanding 1.9 juta pelancong pada tempoh sama tahun lalu.

Ketika cuti panjang sempena Hari Malaysia antara 1 hingga 16 September lalu, katanya ketibaan pelancong melalui Terminal Feri Kuah meningkat 22.4 peratus dan Pelabuhan Langkawi mencatat kenaikan 27.8 peratus, manakala penerbangan domestik mencatat pertambahan 10 peratus dan antarabangsa, meningkat 23 peratus.

“Data rasmi ini adalah rekod LADA, sebuah agensi Kerajaan Persekutuan yang bekerjasama rapat dengan Kerajaan Kedah. Menafikan data ini seolah-olah mempersoalkan kredibiliti LADA sendiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan berkata, statistik jangka panjang turut menunjukkan pertumbuhan berterusan sektor pelancongan Langkawi selepas pandemik dengan kira-kira 2.5 juta pelancong tiba pada 2022 dan meningkat kepada 2.8 juta pada 2023, serta 2.9 juta pada tahun lalu.

Selain itu, katanya data Majlis Perbandaran Langkawi menunjukkan jualan bilik penginapan bagi tempoh antara Jun hingga Ogos lalu mencatat 995,962 unit, berbanding 678,327 unit pada tempoh sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 47 peritus.

“Angka-angka ini jelas menolak dakwaan bahawa pelancongan Langkawi merudum. Langkawi berada dalam keadaan amat memberangsangkan dan terus menjadi destinasi pelancongan utama negara,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Salleh mempersoalkan sumber angka yang digunakan oleh Ahli Parlimen Jelutong, serta menjemputnya atau mana-mana pihak yang mempunyai gambaran negatif terhadap Langkawi untuk datang sendiri ke Kedah dan meninjau keadaan sebenar.

Beliau menegaskan bahawa kenyataan dalam klip video yang tular, termasuk dakwaan bahawa “budak-budak Langkawi tak ada kerja” dan kerajaan negeri tidak mengambil perhatian adalah tidak benar, dan dilihat sebagai usaha menimbulkan persepsi salah terhadap rakyat Kedah.

“Marilah kita semua mempertahankan maruah serta reputasi Pulau Permata Kedah. Ini bukan soal politik, tetapi soal hak, maruah, dan fakta. Data dan bukti rasmi sudah memadai sebagai perisai,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Dasar Bahasa: Pemimpin perlu jadi penggerak, bukan perosak

Next Post

Dasar kerajaan dan sikap tak positif etnik Cina jejaskan penguasaan bahasa Melayu – Prof Kok Seong

Related Posts