Dasar kerajaan dan sikap tak positif etnik Cina jejaskan penguasaan bahasa Melayu – Prof Kok Seong

BANGI, 23 JAMADILAWAL – Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, menegaskan bahawa kegagalan dasar kerajaan dan sikap etnik Cina yang tidak positif terhadap bahasa Melayu menjadi punca masalah penguasaan bahasa kebangsaan di negara ini.

“Bagi saya, kedua-duanya ialah kegagalan dasar kerajaan dan juga faktor etnik Cina itu sendiri yang mempunyai sikap tidak begitu positif terhadap bahasa Melayu dan penuturnya,” katanya.

Beliau menekankan kedudukan bahasa Melayu yang jelas sebagai bahasa negara, bahasa kebangsaan, dan bahasa rasmi, sementara bahasa Inggeris berperanan sebagai bahasa antarabangsa yang penting.

“Selepas bahasa Melayu, datanglah bahasa Inggeris, iaitu bahasa antarabangsa yang paling penting bagi kitalah. Selepas bahasa Inggeris barulah bahasa-bahasa lain.

“Dan bahasa Cina di negara kita mengikut dasar bahasa negara. Bahasa Cina itu tidak lebih daripada sebuah bahasa vernakular untuk etnik Cina.

“Tetapi etnik Cina tidak melihatnya sebegitu; mereka menganggap bahasa Cina lebih besar daripada bahasa Melayu di peringkat dunia,” jelas beliau.

Prof Kok Seong menambah bahawa walaupun bahasa Cina mempunyai nilai ekonomi tinggi di peringkat global, ia hanya penting dalam lingkungan domestik atau komuniti Cina di negara ini, bukan pada tahap nasional.

“Jika bahasa itu statusnya bahasa vernakular, ia hanya penting dalam ranah domestik dan domain kekeluargaan, paling jauh di komuniti itu sendiri. 

“Tetapi di negara kita pelik, amat pelik, sebuah bahasa vernakular boleh berperanan pada tahap nasional melalui pendidikan sekolah Cina. 

“Jadi di situ orang Cina keliru. Betul, bahasa Cina hebat di dunia, tetapi di negara kita ia tidak hebat pun. Ia hanya sebuah bahasa vernakular,” katanya. 

Beliau menegaskan bahawa yang paling utama di Malaysia tetap bahasa Melayu, diikuti bahasa Inggeris untuk urusan antarabangsa.

“Yang paling hebat di Malaysia ialah bahasa Melayu kerana diangkat menjadi bahasa negara. Lepas bahasa Melayu, bahasa Inggeris atas dasar ia bahasa antarabangsa yang penting untuk kitalah. 

“Maknanya, dalam urusan antarabangsa, bahasa Inggeris patut digunakan, bukan bahasa Perancis atau Rusia. Adakah mereka sudah dipasakkan daripada kecil bahawa kena dahulukan bahasa Melayu? Orang Cina memang perlu bahasa lain selain bahasa Melayu,” katanya lagi.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kedah tolak dakwaan Langkawi ‘merana’, statistik pelancongan tunjuk peningkatan

Next Post

Rumah dijadikan premis jual arak? – Penduduk Bukit Damansara persoal DBKL

Related Posts