Dasar Bahasa: Pemimpin perlu jadi penggerak, bukan perosak


BANGI, 23 JAMADILAWAL – Ketika kehangatan kontroversi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, mengugut wartawan baru-baru ini, satu isu yang sama penting ialah perkara yang ditanya hingga Nga Kor Ming melenting.

Soalan ‘mengapa tidak menggunakan bahasa Melayu’ berhubung program Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), iaitu I LITE U, Urban Renewal, Smart City Framework, menunjukkkan isu tidak berkesudahan mengenai kedudukan bahasa Melayu yang dari segi status sudah cukup mantap, iaitu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi.

Namun isu penggunaan I LITE U, walaupun ada penjelasan dari DBKL membuktikan usaha memartabatkan bahasa Melayu belum lagi selesai.

Sama ada secara kebetulan atau tidak, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai satu-satunya institusi yang berperanan sebagai penjaga dan pengawal perkembangan bahasa Melayu kemudian mengeluarkan kenyataan media bertajuk “Jangan gagalkan dasar bahasa: Gunakan Bahasa Kebangsaan yang baik dan betul.”

DBP mengingatkan bahawa penggunaan bahasa asing secara berlebihan dalam dokumen rasmi, surat-menyurat, penamaan program dan slogan boleh menjejaskan martabat bahasa Melayu serta aspirasi negara sebagai negara bangsa.

Teguran itu selaras dengan arahan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 29 Oktober lalu yang menekankan agar semua kementerian memastikan dasar bahasa dilaksanakan sepenuhnya.

Teguran DBP bukan sekadar peringatan formal. Ia membawa mesej jelas bahawa tanggungjawab pelaksanaan dasar bahasa terletak kepada pemimpin negara, termasuk Perdana Menteri dan menteri-menteri.

Sebagai pemimpin yang mengetuai kerajaan dan kementerian, kepimpinan yang tegas diperlukan untuk menetapkan budaya kerja yang mengutamakan Bahasa Kebangsaan, memastikan pegawai mematuhi arahan dasar dan mengarahkan latihan serta kesedaran di kalangan kakitangan kerajaan.

Tanpa tindakan pemimpin, dasar bahasa berisiko menjadi slogan formal sahaja tanpa diamalkan dalam kehidupan sebenar pentadbiran.

Banyak kajian akademik turut menyokong kebimbangan DBP seperti penulisan Dr Ibrahim Majdi Mohamad Kamil dan Maliati Mohamad bertajuk `Cabaran dalam memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa negara dalam usaha pembinaan negara bangsa di Malaysia’ dalam Jurnal Asian People pada 2020 yang menunjukkan bahawa penguasaan bahasa Melayu masih lemah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Mereka juga menyatakan bahawa pengaruh bahasa asing, terutama bahasa Inggeris, semakin dominan dalam komunikasi rasmi dan sosial.

Dalam konteks ini, pemimpin kerajaan perlu bertindak proaktif agar dasar bahasa Melayu tidak sekadar menjadi peraturan di atas kertas, tetapi tidak diamalkan sepenuhnya.

Laporan media juga menunjukkan bahawa beberapa program dan projek kerajaan menggunakan nama atau slogan berbahasa asing, menimbulkan persoalan mengenai tahap kepatuhan kementerian terhadap dasar yang telah ditetapkan.

DBP menegaskan perlu ada pemantauan berterusan agar dasar bahasa tidak digagalkan secara tidak sengaja atau akibat keutamaan imej moden semata-mata.

Tanggungjawab ini terletak pada semua peringkat kepimpinan, dari Perdana Menteri dan menteri hingga Ketua Setiausaha dan ketua jabatan, bagi memastikan dasar bahasa dijalankan secara menyeluruh.

Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi. Ia adalah tulang belakang identiti nasional dan lambang perpaduan negara. Kegagalan pemimpin memastikan dasar bahasa diamalkan boleh melemahkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan serta menjejaskan aspirasi negara sebagai negara bangsa.

Generasi muda berisiko kehilangan keakraban dengan Bahasa Kebangsaan jika terlalu terdedah kepada istilah asing atau amalan “rojak” dalam pendidikan dan media.

DBP telah memberi panduan dan amaran jelas, sementara kajian akademik mengesahkan cabaran yang wujud. Kini, tanggungjawab terletak pada pemimpin kerajaan untuk memastikan dasar bahasa dilaksanakan sepenuhnya, disertai pemantauan berterusan, latihan pegawai, dan kesedaran awam.

Hanya dengan kepimpinan yang tegas dan tindakan bersepadu, bahasa Melayu dapat terus menjadi bahasa rasmi, alat penyatuan, dan lambang identiti kebangsaan, sekaligus menegakkan aspirasi negara sebagai negara bangsa.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Generasi berasingan: Sekolah vernakular dan jurang kaum

Next Post

Kedah tolak dakwaan Langkawi ‘merana’, statistik pelancongan tunjuk peningkatan

Related Posts