TMJ bimbang kesesakan RTS, peruntukan ART Johor tak mencukupi  

BANGI, 22 JAMADILAWAL – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, menzahirkan kebimbangan terhadap masalah kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku apabila Projek Rapid Transit System (RTS) Link antara Johor Bahru dan Singapura mula beroperasi kelak.

Baginda bertitah, setakat ini belum ada penyelesaian menyeluruh disediakan bagi menampung peningkatan jumlah trafik di kawasan bandar raya itu.

“Saya amat bimbang terhadap masalah kesesakan lalu lintas yang bakal timbul apabila Projek Rapid Transit System (RTS) Link antara Johor Bahru dan Singapura mula beroperasi.

“Sehingga kini, tiada penyelesaian menyeluruh disediakan bagi menampung peningkatan jumlah trafik, termasuk pelaksanaan sistem ART bertingkat (elevated ART) atau alternatif pengangkutan lain di kawasan sekitar Bukit Chagar,” titah baginda dalam kenyataan di media sosial rasmi, hari ini.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, Kerajaan Persekutuan memaklumkan bahawa tiada peruntukan mencukupi untuk menampung kos penyelenggaraan jika penyelesaian bertingkat sepenuhnya dilaksanakan.

“Namun begitu, Pulau Pinang mampu memperoleh projek LRT yang jauh lebih mahal berbanding sistem ART,” titah baginda.

Projek RTS Link Johor Bahru–Singapura merupakan sistem transit aliran ringan dua hala sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura.

Projek itu dijangka siap dan mula beroperasi pada 2026, dengan kapasiti membawa hingga 10,000 penumpang sejam setiap hala.

RTS Link dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang kepada kesesakan di Tambak Johor, namun kebimbangan timbul berhubung kesan trafik di kawasan sekitar pusat bandar Johor Bahru, terutama di Bukit Chagar yang menjadi stesen utama projek tersebut.

Pada masa sama, baginda turut memaklumkan sedang memantau rapat perkembangan beberapa projek kesihatan utama di Johor, termasuk Hospital Pasir Gudang yang lewat siap serta isu-isu berbangkit di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kelewatan pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2).

“Saya berharap agar masalah-masalah ini dapat diselesaikan dengan segera dan Johor tidak lagi seolah-olah diketepikan,” titah baginda.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

PRU-16 penentu hidup mati parti politik Melayu 

Next Post

Gencatan senjata Gaza rapuh dan berulang kali dilanggar

Related Posts