Kedah pertahan hak, bukan cabar kedaulatan Pulau Pinang

BANGI, 22 JAMADILAWAL – Kerajaan Kedah tidak bermaksud mencabar kedaulatan Pulau Pinang seperti yang digembur-gemburkan oleh setengah pihak, sebaliknya kedaulatan Kedah yang dicabar oleh sikap prejudis pihak tertentu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, langkah kerajaan Kedah mengemukakan tuntutan semakan nilai pajakan Pulau Pinang menerima bantahan setengah pihak sedangkan perkara itu termaktub dalam Perkara 167 (7) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mempersoalkan jumlah pemberian khas mengikut perjanjian yang dipercayai merujuk kepada pajakan terhadap Pulau Pinang pada 6 Mei 1869 masih setara dengan jumlah yang sama selepas lebih 150 tahun.

Malah, katanya tuntutan kerajaan negeri terhadap caj penggunaan sumber air mentah Sungai Ulu Muda ditolak mentah-mentah sedangkan penggunaan air untuk kegunaan domestik negeri itu sendiri dikenakan caj.

“Maka siapa yang mencabar kedaulatan siapa sebenarnya? Inilah sikap hipokrit pemimpin ultra (pelampau) yang mahu mengenepikan kepentingan sejarah negeri. 

“Malah mereka juga seolah-olah tidak menghormati titah Tuanku Sultan Kedah yang inginkan perkara ini dimuktamadkan dengan tuntas,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Kedah menyatakan sokongan penuh terhadap langkah kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung isu kedudukan dan hubungan negeri itu dan Pulau Pinang.

Selepas selesai fasa kajian pencerahan dibuat, katanya kerajaan Kedah kini bersedia mengambil langkah sewajarnya di mahkamah dengan melantik peguam bagi mengemukakan kedudukan sebenar pajakan Pulau Pinang. 

Sehubungan itu, katanya sewajarnya langkah ini dihormati oleh semua pihak kerana tindakan kerajaan Kedah berpandukan lunas perundangan.

Beliau menegaskan bahawa mahkamah adalah institusi yang selayaknya untuk merundingkan pertikaian ini dan menentusahkan kedudukan dan hubungan Pulau Pinang dengan Kedah. 

Sementara itu Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menjelaskan bahawa setiap tahun, Kedah menerima bayaran lebih RM10 juta dari Kerajaan Pusat yang dipanggil sebagai Bayaran Khas Pulau Pinang atau Penang List yang ditandatangani pada 1869.

Katanya, kerajaan Kedah, termasuk Tuanku Sultan Kedah seperti yang diketahui umum mempersetujui supaya kedudukan sebenar isu berkaitan Pulau Pinang dan Kedah ini diperjelaskan di mahkamah.

“Ahli Parlimen PN menyokong penuh tindakan kerajaan Kedah menubuhkan pasukan perundangan untuk meneliti secara lebih terperinci setelah analisis dibuat oleh pakar-pakar sejarah mengenai aspek sejarah, iaitu asal-usul Kedah dan Pulau Pinang.

“Sebagaimana yang kita maklum, Perlembagaan membenarkankan perkara ini dicabar. Kerajaan negeri sebagai satu entiti boleh menyaman dan disaman. Jadi sekarang, kerajaan Kedah menyaman kerajaan Pulau Pinang,” katanya.

Takiyuddin yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PN berkata, kerajaan Kedah mempunyai asas yang kukuh untuk membawa kes berkaitan pajakan Pulau Pinang bagi penentuan pihak mahkamah.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Gencatan senjata Gaza rapuh dan berulang kali dilanggar

Next Post

Apa guna nama Tanah Melayu kalau pemimpin Melayu tunduk kepada kuasa asing?

Related Posts