BANGI, 21 JAMADILAWAL – Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan ahli UMNO mengkhianati perjuangan kemerdekaan apabila menyokong Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) yang meletakkan negara ini di bawah kuasa besar itu.
Dalam catatan di Facebook bertajuk “Wahai Ahli UMNO”, bekas Presiden UMNO berkata, tindakan itu bertentangan dengan perjuangan ibu bapa dan datuk nenek yang berkorban demi kemerdekaan Tanah Melayu.
“Kamu sudah khianati perjuangan ibu bapa dan datuk nenek kamu untuk kemerdekaan Tanah Melayu,” katanya.
Menurutnya, apabila ahli UMNO bersetuju dengan perjanjian berkenaan, ia bererti menyokong tindakan menghapuskan kemerdekaan yang diperjuangkan generasi terdahulu.
“Hari ini, kamu sokong tindakan menghapuskan kemerdekaan yang mereka perjuang dahulu apabila mempersetujui perjanjian meletak negara tercinta ini di bawah kuasa AS,” tulis beliau.
Dr Mahathir yang dua kali menjadi Perdana Menteri, mendakwa ahli UMNO mengutamakan kepentingan peribadi sehingga sanggup menggadai tanah air.
“Kamu utamakan kepentingan diri kamu dan gadai tanah air. Anak cucu kamu akan kutuk perbuatan kamu,” katanya lagi.
Beliau berkata, perjanjian itu bukan sahaja melibatkan pembelian barangan AS, malah mewajibkan Malaysia menyokong dasar serta tindakan Washington.
“Selain bersetuju membeli hampir 1 trilion Ringgit barangan AS, kamu bersetuju menyokong dasar dan tindakan AS. Kamu juga setuju merujuk kepada AS segala tindakan dan dasar hubungan Malaysia dengan negara lain supaya tidak bertentangan dasar dan tindakan AS,” jelasnya.
Selain itu, katanya, keberanian Malaysia sebagai negara merdeka sudah hilang kerana segala-galanya kini ditentukan oleh AS.
Dr Mahathir turut mendakwa UMNO menjadi pengkhianat kepada bangsa Melayu dan tidak lagi memperjuangkan bangsa, negara serta agama.
Beliau menegaskan perjuangan ahli serta wakil rakyat UMNO kini hanya untuk kepentingan diri sendiri dan mengingatkan bahawa pengkhianatan itu akan tercatat dalam sejarah negara.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi