BANGI, 20 JAMADILAWAL – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menghormati suara untuk mengembalikan peperiksaan, tetapi menegaskan bahawa sistem pendidikan hari ini masih mempunyai peperiksaan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata sistem pendidikan hari ini masih berpandukan kepada peperiksaan walaupun dilaksanakan Pentaksiran Berdasarkan Sekolah (PBS).
Melalui PBS, terdapat Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Psikometrik dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani serta Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
“Selain tiga jenis pentaksiran ini, masih ada Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) sebagai pentaksiran sumatif. Kemudian sistem pendidikan kita masih ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Jika dikatakan tiada peperiksaan dalam sistem pendidikan hari ini adalah tidak benar,” katanya seperti yang dilaporkan dalam temu bual Bersama BH.
Dua peperiksaan utama sebelum ini, iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya mulai 2021, manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan pada tahun sama.
Ketiadaan peperiksaan utama berkenaan menyebabkan pelbagai pihak menggesa KPM mengembalikan peperiksaan utama itu, terutama UPSR.
Malah ketika program Rundingan Meja Bulat Nasional (RIMBUN) 1.0: Reformasi Sistem Pendidikan pada Zaman Kecerdasan Buatan (AI) dan Pemerkasaan Institusi Guru, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berpandangan bahawa peperiksaan berkenaan wajar dikembalikan semula bagi menilai tahap penguasaan dan pencapaian akademik murid.
Dr Mohd Azam menerangkan bahawa UPSR, PT3 dan UASA mempunyai konsep yang sama, iaitu berteraskan pentaksiran.
“UPSR hanya sebuah ujian, manakala PT3 adalah pentaksiran. Jadi kedua-duanya adalah suatu alat pentaksiran. Demikian juga UASA adalah pentaksiran,” katanya.
Bagaimanapun, katanya perbezaan ialah UPSR dan PT3 diuruskan oleh Lembaga Peperiksaan, manakala UASA diuruskan sendiri oleh sekolah.
“Soalan UPSR dan PT3 disediakan guru berdasarkan Jadual Speksifikasi Ujian (JSU). Malah, soalan PT3 itu disediakan guru dan disimpan dalam bank soalan di LP. Kemudian sekolah muat naik set soalan secara rawak untuk PT3 sekolah masing-masing. Jadi soalan bagi setiap sekolah berbeza-beza tapi sama standardnya,” katanya.
Dr Mohd Azam berkata, UASA juga sama kaedah dengan soalan disediakan guru berdasarkan JSU dan disimpan dalam bank soalan di LP, ketika awal pelaksanaannya dahulu.
Beliau berkata, kemudian guru akan memuat naik set soalan bagi UASA di sekolah masing-masing.
“Namun setelah banyak bengkel peningkatan profesionalisme membina item diadakan dan ramai guru juga mahir membina item, ada suara yang mahukan autonomi untuk UASA diserahkan kepada sekolah.
“Jadi, sekolah hanya diberikan JSU sebagai panduan untuk membina item atau soalan yang standard. Soalan antara sekolah itu dilihat berbeza-beza tetapi mempunyai kualiti atau standard yang sama.
“Cara begini tidak menjadikan sistem pendidikan itu dalam keadaan tertekan dengan fokus orientasi peperiksaan bagi murid dalam tempoh murid masih kecil,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi