BANGI, 16 JAMADILAWAL – Tuduhan keras terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh bekas Ketua Radio dan Televisyen Tentera Diraja Thailand disifatkan sebagai melampau dan tidak sepatutnya berlaku, kata Tan Sri Annuar Musa.
Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, kritikan yang tular berpunca daripada kenyataan Jeneral A. Rangsi Kitiyansap, yang mendakwa Perdana Menteri sebagai ‘musuh dalam selimut’ ASEAN berhubung isu konflik Thailand–Kemboja.
“Saya berpandangan, ia melampau dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau menegaskan bahawa Wisma Putra perlu melakukan sesuatu mengikut saluran diplomatik, manakala Sekretariat ASEAN juga harus mempertahankan Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tuduhan berat sebegini tidak boleh dipandang ringan. Maruah seorang Perdana Menteri mesti dijaga,” tegas beliau.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali, membangkitkan kewujudan satu video dalam bahasa Thai yang dikatakan melabel Perdana Menteri sebagai “musuh dalam selimut.”
Menurut Rafique, video berdurasi 58 minit itu menampilkan Jeneral A. Rangsi Kitiyansap dalam satu program televisyen digital One31 yang disiarkan pada 3 November lalu.
“Video ini membincangkan kontroversi berhubung perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja. Menurut Rangsi, perjanjian itu membenarkan Amerika Syarikat (AS) memasuki dan mengganggu kedaulatan ekonomi Thailand,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Rafique turut memetik kenyataan Rangsi yang menuduh Perdana Menteri menggunakan situasi perjanjian itu untuk mengangkat diri sendiri.
Dalam program sama, hos turut menyentuh mengenai peranan Donald Trump dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Rangsi menjawab bahawa Anwar ialah “sai suek dalam ASEAN”, yang bermaksud pengintip.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi