BANGI, 16 JAMADILAWAL – Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa fasal dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat (AS) yang berpotensi menjejaskan dasar cukai, kedaulatan ekonomi, serta keutamaan syarikat tempatan.
Katanya, beberapa peruntukan dalam perjanjian itu perlu diperhalusi kerana ia melibatkan butiran kutipan cukai, hasil kerajaan, dan strategi pelaburan nasional.
“Saya baca dalam perjanjian, Perkara 1.2 (Seksyen 1, Lampiran 3, Komitmen Khusus): Malaysia hendaklah mengecualikan eksport barangan pertanian dan hasil laut AS daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” katanya dalam tulisannya di Facebook.
Syahir berkata, pengecualian itu bercanggah dengan tujuan asal SST yang diwujudkan untuk mengenakan cukai ke atas produk import dan barangan mewah, selain melindungi industri pertanian serta perikanan tempatan.
“Tindakan ini bukan sahaja bercanggah dengan dasar cukai negara, malah mencipta satu duluan (precedent) yang membimbangkan. Adakah kita akan memberikan keistimewaan cukai ini kepada semua negara, bukan AS sahaja?” katanya.
Beliau turut mempersoalkan komitmen kerajaan yang bersetuju tidak mengenakan Cukai Digital ke atas firma AS, walaupun cukai tersebut telah dikuatkuasakan sejak 2020.
“Saya baca dalam perjanjian, Perkara 3.1 menyatakan Malaysia tidak akan mengenakan cukai perkhidmatan digital, atau cukai serupa, yang mendiskriminasi syarikat AS dalam apa jua undang-undang. Ini adalah kerugian fiskal,” katanya.
Menurutnya, kerajaan sebelum ini mengutip RM1.6 bilion daripada 464 entiti asing dari 29 negara pada 2024, dan pengecualian kepada syarikat AS dilihat menimbulkan persoalan keadilan dasar.
Syahir turut menyentuh fasal Perkara 6.2 yang menyentuh peranan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), apabila Malaysia dikehendaki memastikan syarikat milik atau dikawal kerajaan tidak mendiskriminasi barangan atau perkhidmatan dari AS dalam aktiviti komersial.
“Malaysia hendaklah memastikan padang permainan yang sama rata bagi syarikat AS dalam pasaran tempatan. Persoalannya, apakah implikasi terma ini terhadap kebebasan komersial GLC kita? Apa pula kesannya terhadap geran dan bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya syarikat Bumiputera?” katanya.
Syahir memberi amaran bahawa peruntukan itu boleh memberi kesan langsung terhadap pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), yang bergantung kepada GLC sebagai peneraju utama pembangunan ekonomi Bumiputera.
Beliau turut menarik perhatian terhadap Perkara 5.1, yang menurutnya memberi ruang kepada AS untuk mempengaruhi dasar luar dan ekonomi Malaysia.
“Perkara 5.1 menegaskan, jika AS mengenakan tarif, sekatan, atau larangan import terhadap mana-mana negara ketiga atas alasan keselamatan ekonomi atau nasionalnya, Malaysia hendaklah menerima pakai langkah yang mempunyai kesan sekatan yang setara.
“Sudah terang lagi bersuluh, peruntukan ini jelas memaksa Malaysia akur dengan tindakan sekatan AS walaupun kepentingan ekonomi dan keselamatan kita berbeza,” katanya.
Syahir menegaskan, semua fasal ini perlu diperjelas secara terbuka bagi memastikan Malaysia tidak terikat dengan komitmen perdagangan yang boleh menjejaskan kedaulatan fiskal dan ekonomi negara.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi