Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan semakin tercalar kedudukannya apabila penggunaan bahasa asing semakin meluas pada papan tanda, iklan dan nama tempat di seluruh negara.
Presiden Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (Identiti), Islah Wahyudi Zainudin, menyifatkan fenomena itu sebagai satu bentuk “pelacuran bahasa”, iaitu sikap menggadaikan maruah bahasa sendiri demi kelihatan moden dan bertaraf antarabangsa.
“Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi lambang jati diri dan maruah bangsa. Bila bahasa ini dipinggirkan, ia menunjukkan bangsa kita sedang kehilangan arah dan identiti,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, trend penggunaan bahasa asing yang berlebihan mencerminkan kelemahan semangat cintakan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat, khususnya di bandar-bandar utama.
“Kita faham Malaysia masyarakat majmuk, tetapi bahasa kebangsaan mesti tetap diutamakan. Bahasa lain boleh digunakan, asalkan tidak menenggelamkan bahasa Melayu yang menjadi asas kepada identiti negara,” ujarnya.
Islah berkata, ada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dilihat kurang tegas dalam memastikan papan tanda dan iklan awam mematuhi peraturan penggunaan bahasa kebangsaan seperti yang digariskan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
“Jika kerajaan benar-benar serius mahu membina negara bangsa yang kuat, penguatkuasaan terhadap bahasa kebangsaan perlu dilakukan secara menyeluruh dan konsisten,” tegasnya lagi.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperkasakan audit bahasa kebangsaan di semua kawasan pihak berkuasa tempatan bagi menilai tahap pematuhan terhadap penggunaan bahasa Melayu di ruang awam.
“Kita tidak menolak kepelbagaian bahasa, tetapi mesti ada adab dan tertib. Bahasa Melayu wajib diutamakan, bukan dijadikan sekadar hiasan kecil di bawah papan tanda asing,” katanya.
Islah turut menegaskan bahawa krisis bahasa ini bukan hanya isu linguistik, tetapi mencerminkan kerosakan pemikiran akibat pengaruh budaya asing dan fahaman liberal yang semakin menular.
“Apabila bangsa Melayu malu menggunakan bahasa sendiri, itu tanda mereka mula hilang jati diri.
“Inilah penjajahan bentuk baharu, bukan melalui senjata, tetapi melalui minda dan bahasa,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi