BANGI, 16 JAMADILAWAL – Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali, membangkitkan kewujudan satu video dalam bahasa Thai yang dikatakan melabel Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai “musuh dalam selimut.”
Menurutnya, video berdurasi 58 minit itu menampilkan Jeneral A. Rangsi Kitiyansap, bekas Ketua Radio dan Televisyen Tentera Diraja Thailand, dalam satu program televisyen digital One31 yang disiarkan pada 3 November lalu.
“Video ini membincangkan kontroversi berhubung perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja. Menurut Rangsi, perjanjian itu membenarkan Amerika Syarikat (AS) memasuki dan mengganggu kedaulatan ekonomi Thailand,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Rafique turut memetik pandangan Rangsi bahawa perjanjian damai tersebut mengandungi elemen kerjasama dalam cukai dagangan dan nadir bumi (REE) yang pada pandangannya boleh memudaratkan Thailand dari segi ekonomi dan perdagangan.
“Paling mengejutkan, Rangsi melabel Anwar, selaku Pengerusi ASEAN, sebagai pengkhianat dan musuh dalam selimut, serta mendakwa Perdana Menteri menggunakan situasi perjanjian itu untuk ‘mengangkat diri sendiri’,” katanya.
Rafique turut memetik kenyataan Rangsi yang mendakwa Thailand bakal kehilangan hak ke atas sumber nadir bumi bernilai antara 40 hingga 50 trilion baht akibat perjanjian berkenaan.
Menurut Rafique lagi, hos program televisyen itu turut menyentuh peranan Donald Trump dan Anwar Ibrahim, dengan Rangsi dilapor menyebut bahawa Anwar adalah “sai suek dalam ASEAN”, iaitu istilah Thai yang membawa maksud “pengintip.”
“Rangsi juga menyelar tindakan Anwar Ibrahim yang didakwa mengambil kesempatan daripada konflik Thai–Kemboja untuk menyelit perjanjian dagang dan nadir bumi dengan AS,” tulis Rafique.
Beliau menambah, persengketaan antara Thailand dan Kemboja sebelum ini telah dirujuk kepada Setiausaha Agung serta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun kini didakwa “menjadi mainan AS.”
Rafique turut memetik pandangan Rangsi bahawa dasar AS di bawah pentadbiran Donald Trump sedang beralih daripada konsep “patron-client” kepada dasar dominasi dunia melalui perdagangan timbal balik.
Menurut Rangsi, katanya lagi, Trump telah memperoleh “boneka yang akan menari mengikut rentaknya.”
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi