BANGI, 7 JAMADILAWAL – Melihat kepada perkembangan kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia semasa Persidangan ASEAN baru-baru ini, telah berlaku satu perjanjian perdagangan antara AS dan Malaysia.
Terdapat beberapa perkara yang perlu kita teliti dan berhati-hati kerana ia melibatkan kepentingan serta kedaulatan negara, antaranya:
1. Perjanjian ini bukan timbal balik, tetapi berat sebelah
Walaupun dinamakan Reciprocal Trade Agreement, hakikatnya Amerika Syarikat mengekalkan tarif 19 peratus terhadap barangan Malaysia tanpa sebarang pengurangan bermakna.
Sebaliknya, Malaysia berjanji membuka pasaran luas untuk barangan AS termasuk sektor automotif, pertanian, telekomunikasi dan digital.
Kita pula perlu menerima piawaian keselamatan, halal dan emisi buatan mereka. Ini jelas bukan pertukaran setara antara dua negara berdaulat, tetapi bentuk dominasi ekonomi yang menyamar sebagai kerjasama.
2. Komitmen kewangan Malaysia terlalu besar berbanding manfaat yang diterima
Nilai komitmen Malaysia mencecah USD250 bilion (RM1 trilion) – hampir separuh daripada saiz ekonomi negara. Ia meliputi pembelian pesawat, semikonduktor, LNG, arang batu serta pelaburan dana modal di AS.
Sedangkan AS tidak membuat pelaburan langsung berskala besar di Malaysia, hanya mendapat pasaran baharu untuk produknya.
Walaupun kerajaan menyebut ini sebagai urus niaga swasta, realitinya GLC dan institusi pelaburan negara turut terlibat, menjadikan risiko kewangan akhirnya ditanggung oleh rakyat.
3. Sebahagian kedaulatan dasar Malaysia terhakis
Perjanjian ini mengikat Malaysia supaya tidak mengenakan sekatan eksport nadir bumi ke AS dan menerima standard buatan mereka untuk kenderaan, status halal serta produk digital.
Malaysia juga tidak boleh mengenakan cukai digital terhadap syarikat gergasi AS seperti Google dan Meta.
Ini bermaksud ruang dasar negara untuk melindungi kepentingan tempatan semakin sempit – satu bentuk penyerahan kuasa ekonomi secara senyap di bawah nama liberalisasi pasaran.
4. Tiada pulangan strategik yang setimpal untuk rakyat
Janji akses pasaran ke AS masih bersyarat dan terbatas. Produk utama Malaysia seperti sawit dan getah kekal menghadapi halangan tarif serta syarat buruh dan alam sekitar yang berat sebelah.
Sementara itu, barangan AS akan masuk dengan mudah ke pasaran kita.
Imbangan dagangan ini boleh menekan industri tempatan dan menyebabkan Malaysia terus bergantung kepada import berasaskan dolar AS, tanpa peningkatan teknologi atau pekerjaan baharu yang signifikan.
5. Kelemahan diplomasi, bukan kebijaksanaan geopolitik
Perjanjian ini menunjukkan bahawa Malaysia tunduk kepada tekanan kuasa besar dengan menggadaikan sebahagian kedaulatan ekonomi atas nama “strategi imbangan”.
Hal ini bukanlah perundingan bijak, tetapi keputusan lemah yang meletakkan beban besar kepada fiskal negara tanpa faedah nyata kepada rakyat.
Perundingan yang benar-benar strategik sepatutnya melindungi kepentingan nasional terlebih dahulu, bukan menambah hutang dan kebergantungan kepada kuasa asing.
Ir. Hj. Mohd Khoushaini Mohd Naim, Penasihat Hal Ehwal Strategik ISMA
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi