BANGI, 6 JAMADILAWAL – Kerajaan disaran untuk menyemak semula mekanisme yang diguna pakai dalam menentukan pemberian subsidi petrol RON95 menerusi BUDI95 kepada pemandu e-hailing, kata Presiden Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD), Nathan Mathivanan
Beliau berkata, pelaksanaan mekanisme yang menetapkan limitasi subsidi petrol kepada industri gig adalah tidak masuk akal kerana industri itu dikategorikan sebagai industri fleksibel.
Katanya, ini bermakna, terdapat kategori berbeza bagi pemandu e-hailing iaitu mereka yang tergolong sebagai pemandu sepenuh masa dan pemandu separuh masa, sekali gus menghasilkan corak pemanduan dan jarak perjalanan yang berbeza.
“Tidak semestinya semua pemandu bekerja di kawasan Kuala Lumpur sahaja, ada yang dari Seremban dan ada yang dari Bentong, contohnya. Jadi jarak pemanduan adalah berbeza.
“Ada yang bekerja 8 jam sehari, ada pula yang bekerja 4 jam sehari dan tidak semua pemandu meraih jumlah pendapatan yang sama. Ada yang sentiasa bergerak mencari penumpang, ada yang menunggu di dalam kereta di satu tempat dan ada juga yang bekerja di lokasi tertentu seperti mensasarkan penumpang dari lapangan terbang.
“Situasi ini pastinya mencerminkan data yang berbeza dari aspek jarak pemanduan dan jumlah pendapatan bagi setiap pemandu. Data corak pemanduan ini pastinya tidak dapat dikumpul oleh kerajaan, sebab itu ia dikatakan sebagai fleksibel.
“Bila dikatakan fleksibel, mengapa perlu tentukan jarak pemanduan secara tetap kepada semua pemandu?” soalnya dalam temu bual bersama TV Pertiwi.
Pada 15 Oktober lalu, pemandu e-hailing sepenuh masa dilaporkan mula menerima tambahan 300 liter subsidi petrol menjadikan keseluruhan yang diterima mereka menerusi BUDI95 ialah 600 liter sebulan.
Dalam pada itu, Nathan turut mempersoalkan ketetapan syarat minimum untuk pemandu e-hailing mencapai jarak 3,000 kilometer sebelum layak menerima kuota tambahan 300 liter petrol, menjadikan keseluruhan kuota BUDI95 yang diterima ialah 600 liter.
Beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan mengapa dan bagaimana syarat ini ditetapkan kepada semua pemandu e-hailing sebelum mewujudkan mekanisme sedia ada.
Terdahulu, Nathan berkata, ramai dalam kalangan pemandu e-hailing mengadu bahawa kuota tambahan BUDI95 adalah tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan jarak perjalanan dalam tempoh sebulan.
Katanya, situasi ini bertambah buruk bagi ramai lagi pemandu e-hailing apabila mendakwa tidak layak menerima kuota tambahan, menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada kuota peribadi.
“Disebabkan ini, ramai pemandu e-hailing terpaksa membeli petrol RON95 pada harga pasaran iaitu RM2.60 seliter untuk terus bekerja. Ini secara langsung menyebabkan mereka meraih pendapatan yang lebih rendah,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Nathan berkata, kuota yang selayaknya diberikan kepada pemandu e-hailing adalah antara 1,200 liter hingga 1,400 liter bagi setiap pemandu.
Jelasnya, ini kerana pemandu e-hailing juga dapat menggunakan kuota BUDI95 untuk tujuan peribadi di luar waktu kerja seperti urusan balik kampung atau berjalan-jalan bersama keluarga.
Tambah beliau, peruntukan subsidi ini juga wajar diberikan kepada pemandu p-hailing yang sehingga kini didakwa tidak menerima tambahan kuota subsidi.
Sementara itu, seorang pemandu e-hailing dari Maxim, Choon Seong akui bahawa kuota tambahan 300 liter yang diterimanya adalah tidak cukup sebagai seorang pemandu sepenuh masa.
Beliau berkata, walaupun kuota tambahan diberikan kepada pemandu e-hailing adalah insiaitif yang dihargai, beliau bagaimanapun berharap kerajaan mempertimbang tambahan kuota sebanyak 600 liter tanpa syarat khusus bagi pemandu e-hailing.
Katanya, cadangan ini bagi memenuhi keperluan bulanan pemandu e-hailing yang bekerja sepenuh masa seperti dirinya.
“Saya beroperasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, meliputi pelbagai lokasi utama termasuk kawasan perumahan, pusat bandar serta kawasan tumpuan awam seperti pusat membeli-belah dan stesen pengangkutan awam.
“Kuota tambahan ini amat penting untuk memastikan kelancaran operasi harian dan kestabilan pendapatan bulanan.
“Kerajaan juga wajar mengambil kira jarak destinasi pengambilan penumpang yang ada kalanya sangat jauh. Justeru, penambahan kuota akan membantu mereka menjalankan tugas dengan lebih cekap,” ujarnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi