Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sebanyak 703,000 kematian akibat bunuh diri berlaku di seluruh dunia setiap tahun, dengan purata satu kematian setiap 40 saat.
Di Malaysia, kes kematian akibat bunuh diri didapati meningkat sebanyak 10 peratus, dengan 1,087 kes direkodkan pada tahun 2023 berbanding 981 kes pada 2022, sebagaimana rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bunuh diri berada dalam 10 penyebab utama kematian di dunia, dan merupakan penyebab keempat kematian bagi mereka yang berumur 15 hingga 29 tahun. Bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan 135 ahli keluarga atau rakan-rakan akan mengalami impak emosi, sosial dan ekonomi.
Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), satu dalam lapan remaja mempunyai pemikiran untuk membunuh diri, manakala satu dalam sepuluh pula pernah mencuba untuk melakukannya.
NHMS 2022 mendedahkan trend peningkatan cubaan bunuh diri dalam kalangan remaja, terutamanya perempuan, sejak lima tahun lalu.
Pemikiran untuk membunuh diri meningkat secara mendadak kepada 13.1 peratus dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun, berbanding 10 peratus pada tahun 2017. Manakala bagi cubaan bunuh diri, angka ini menunjukkan peningkatan kepada 9.5 peratus pada tahun lalu berbanding 6.9 peratus pada 2017.
Sementara itu, data daripada Tinjauan Kesihatan Remaja 2022 oleh Institut Kesihatan Awam (IKU) mendapati bahawa remaja perempuan mempunyai pemikiran untuk membunuh diri dengan peratusan lebih tinggi, iaitu 18.5 peratus, berbanding remaja lelaki yang mencatatkan 7.6 peratus.
Dalam hal cubaan bunuh diri, remaja perempuan juga mencatatkan peratusan dua kali ganda lebih tinggi, iaitu 13.4 peratus berbanding 5.7 peratus bagi lelaki.
Kebanyakan remaja yang mempunyai pemikiran atau cubaan bunuh diri turut mengalami kemurungan.
Satu perempat daripada responden melaporkan berasa tertekan, menguatkan lagi hakikat bahawa isu kesihatan mental dalam kalangan remaja di negara ini sangat membimbangkan.
Langkah-langkah menangani isu
Kerjasama dan campur tangan komprehensif sangat diperlukan bagi menurunkan kadar pemikiran dan cubaan bunuh diri. Antara langkah yang boleh diambil termasuk:
1. Kesedaran dan Pendidikan – Program kesedaran tentang kesihatan mental perlu diperluas di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan tinggi.
2. Sokongan Psikologi – Meningkatkan akses kepada kaunseling dan perkhidmatan psikologi.
3. Kempen Anti-Stigma – Kempen untuk mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan mental perlu dijalankan secara berterusan.
4. Penglibatan Media – Laporan media yang bertanggungjawab penting bagi mengelakkan dorongan untuk meniru tingkah laku bunuh diri.
Talian bantuan
Sekiranya anda mengalami kemurungan, keresahan, atau menunjukkan tanda-tanda mahu membunuh diri, sila hubungi talian berikut:
Befrienders KL: 03-7927 2929 (24 jam)
Talian Kasih: 15999 (24 jam) / WhatsApp 019-261 5999
Mercy Malaysia: 03-2276 2116
All Women’s Action Society (AWAM): 016-237 4221
Hidayatul Akmal Ahmad
Wartawan TV Pertiwi
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi