Reformasi pendidikan baharu perlu berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

BANGI, 1 JAMADILAWAL – Reformasi pendidikan baharu mesti berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPN) dan konsep kurikulum bersepadu. 

Tokoh bahasa dan persuratan negara, Senator Prof Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, matlamat pendidikan negara adalah untuk membentuk generasi seimbang dan bersepadu aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). 

“Jika matlamat itu dijadikan teras dan disusuli pelaksanaan yang berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, bahan pelajaran, pentaksiran dan juga kokurikulum, saya yakin isu akhlak atau moral yang buruk, jenayah remaja (termasuk buli, rogol dan pembunuhan) dapat dibendung.

“Reformasi pendidikan kini perlu membentuk kesinambungan reformasi pendidikan yang sedia ada, khasnya reformasi pendidikan pada tahun 1988.

“Reformasi pendidikan 1988 sangat penting kerana pada waktu itu kali pertama diisytiharkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPN) dan Kurikulum Bersepadu,” katanya. 

Menurut Awang, walaupun FPN dikatakan tidak pernah dialpakan, namun beliau menilai aspek pelaksanaannya kurang jelas dan berkesan. 

“Dalam tempoh sekitar satu dekad FPN dan kurikulum bersepadu dilaksanakan, telah nampak kesan yang positif kerana adanya pelaksanaan proses merentas, seperti Ilmu Merentas Kurikulum, Nilai-nilai Murni Merentas Kurikulum, Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif Merentas Kurikulum dan Bahasa Melayu Merentas Kurikulum.

” Ketika itu, pengetua atau guru besar, penolong kanan, ketua bidang dan guru panitia mata pelajaran diwajibkan memantau proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah untuk memastikan guru semua mata pelajaran melaksanakan proses merentas itu.

” Sudah lama aspek itu tidak dilaksanakan dengan jelas, seperti tiadanya pemantauan oleh pihak pemimpin sekolah,” katanya. 

Oleh itu, reformasi seperti pembinaan watak (karakter) murid merupakan langkah yang baik untuk membentuk sahsiah murid, selain memberikan ilmu akademik dan kemahiran.

 “Sangat penting dirancang pelaksanaan yang berkesan melalui proses pengajaran dan pembelajaran serta melalui kokurikulum. 

“Perlu dibina indeks prestasi pelajar yang seimbang antara akademik dengan sahsiahnya, termasuk akhlak, kecintaan dan kesetiaan kepada negara. 

“Sudah sampai masanya sijil yang dikeluarkan sebagai kayu ukur prestasi murid atau pelajar turut memasukkan aspek sahsiah, termasuk watak atau karakter,” katanya. 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Parlimen Israel beri kelulusan pengilhakan Tebing Barat yang diduduki

Next Post

Hidang arak: ‘Lebih baik buat DAP Airlines’ – PAS bidas DAP

Related Posts