BANGI, 25 RABIULAKHIR – Gelombang kes keganasan dan salah laku di sekolah sejak kebelakangan ini dengan kes tikam hingga maut dan jenayah rogol di kawasan sekolah menjadi tamparan besar kepada kita semua.
Sudah tentu apabila masalah berlaku, kita dengan cepat menuding jari kepada pelbagai pihak. Nombor satu, sudah tentu Menteri Pendidikan kerana itu memang tanggungjawabnya.
Kemudian pimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan dan di peringkat negeri hingga Pejabat Pendidikan Daerah. Paling akhir dan dekat dengan kita ialah pentadbir sekolah, termasuk guru.
Jika berlaku kes disiplin atau sesuatu yang tidak elok di sekolah, masyarakat terutama ibu bapa pelajar akan melihat cara pentadbiran sekolah menangani kejadian itu. Jika betul, kita puji. Jika sebaliknya, sudah tentu kecaman pula dilontarkan.
Namun, satu persoalan yang penting ialah apa pula peranan ibu bapa pelajar sendiri?
Kejayaan dan kelemahan sesebuah sekolah banyak bergantung kepada penyertaan masyarakat, terutama ibu bapa. Sebab itu, ada sekolah yang hebat bukan saja dari fizikal, tetapi dari segi aktiviti yang dijalankan.
Cara paling mudah untuk menilai penyertaan ibu bapa dalam aktiviti sekolah ialah melihat kehadiran mereka dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Ketika bergelar bapa pelajar sejak anak-anak di sekolah rendah hingga menengah, saya akan memastikan tidak gagal menghadiri mesyuarat PIBG. Pernah mesyuarat PIBG dua anak berlangsung serentak pada hari yang sama, saya akan pergi ke satu mesyuarat, manakala isteri menghadiri satu lagi mesyuarat.
Pelbagai mesyuarat PIBG saya hadiri – sekolah rendah, sekolah menengah biasa, sekolah menengah kawalan (untuk masuk perlu mendapat sekurang-kurang 4A dalam UPSR) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
Tahap kehadiran ibu bapa dalam mesyuarat PIBG berbeza-beza. Di sekolah rendah, kehadiran ibu bapa agak ramai. Mungkin ibu bapa muda teruja mencari pengalaman baharu untuk mengetahui perkembangan di sekolah.
Namun, secara am daripada ribuan bilangan pelajar di sekolah, bilangan ibu bapa yang hadir hanya dalam lingkungan ratusan.
Mengapa mesyuarat PIBG penting dan ibu bapa wajib hadir? Antara sebab saya tidak gagal menghadiri mesyuarat PIBG ialah kita tahu apa yang berlaku di sekolah.
Dalam satu mesyuarat PIBG sekolah menengah biasa yang saya hadiri, pengetua sekolah meluahkan perasaannya mengenai masalah ponteng di sekolah itu.
“Tuan-tuan nak tahu, ada pelajar yang ibu bapa hantar ke sekolah, tetapi selepas masuk sekolah, mereka sanggup panjat pagar sekolah untuk ponteng. Mereka hilang di kawasan flat berhampiran,” katanya.
Bagaimanapun, menarik kepada ibu bapa yang hadir ialah pengetua berkenaan memberitahu pendekatan untuk menyelesaikan masalah itu, iaitu bekerjasama dengan persatuan penduduk kawasan perumahan yang mengelilingi sekolah itu.
Setiap kali ada pelajar yang cuba ponteng dengan memanjat pagar sekolah, penduduk sama ada menahan pelajar terbabit atau menghubungi pihak sekolah. Polis juga diminta melakukan rondaan di kawasan berhampiran dan strategi ini berjaya mengurangkan masalah itu.
Jika tidak menghadiri mesyuarat PIBG itu, saya tidak akan tahu masalah di sekolah itu.
Jika kita lihat sekolah yang mempunyai kemudahan lengkap, cantik dan bersih, peranan PIBG adalah di sebaliknya. Jika berharapkan peruntukan kerajaan, berapa banyak yang dapat. Kalau dapat pun mengambil masa yang lama.
Di satu mesyuarat PIBG SBP yang saya hadiri, sekolah itu agak baharu dan mengalami masalah banyak kemudahan tandas rosak. Apabila pengetua menceritakan masalah itu, seorang bapa pelajar yang juga kontraktor secara sukarela menawarkan dirinya untuk melakukan kerja pembaikan.
Bayangkan masalah yang mungkin mengambil masa berbulan-bulan boleh diselesaikan dengan begitu mudah dan cepat.
Di sebuah sekolah menengah kawalan, bumbung besar yang dipasang untuk menjadi dewan terbuka mendapat peruntukan kerajaan kerana bapa pelajar sekolah itu adalah pegawai kanan kepada menteri.
Selain kewangan, ibu bapa boleh memberikan bantuan dalam pelbagai bentuk mengikut kepakaran masing-masing.
Apabila berlaku pelbagai masalah di sekolah sekarang, ada yang berlaku akibat faktor pihak berkuasa dan ada juga yang sebenarnya boleh ditangani melalui penyertaan masyarakat, terutama ibu pelajar.
Jadi kalau ada mesyuarat PIBG, pergilah. Kalau tak nak beri pandangan atau bercakap. Duduk sajalah dan dengar, sekurang-kurangnya ibu bapa tahu perkembangan di sekolah.
Oleh: Ziauddin Sharuddin, wartawan TV Pertiwi
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi