BANGI, 22 RABIULAKHIR – Israel enggan membebaskan dua doktor Palestin, termasuk pakar kanak-kanak, Dr Hussam Abu Safiya yang juga Pengarah Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, dalam perjanjian gencatan senjata terbaharu dengan Hamas.
Seorang pegawai Hamas memberitahu bahawa Tel Aviv menolak untuk membebaskan Dr Safiya.
Pegawai itu turut memaklumkan bahawa Dr Marwan Al Hams, Pengarah hospital lapangan di Gaza, juga tidak akan dibebaskan.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, Dr Al Hams ditahan oleh pihak Israel sejak Julai lalu.
Dr Hussam Abu Safiya pula ditangkap pada 27 Disember 2024 apabila tentera Israel menyerbu Hospital Kamal Adwan, mengacukan senjata dan memaksanya keluar dari hospital sebelum kemudahan itu dimusnahkan dan tidak lagi dapat beroperasi.
Sejak itu, beliau ditahan mengikut undang-undang zalim Israel yang membolehkan penahanan tanpa perbicaraan berdasarkan bukti rahsia.
Dr Safiya menjadi tokoh penting dalam sistem kesihatan Gaza kerana tetap berkhidmat dalam keadaan amat bahaya, menolak arahan tentera Israel untuk berundur dan terus merawat orang awam yang cedera ketika serangan udara semakin hebat.
Pasukan peguamnya melaporkan bahawa beliau tidak pernah dibawa ke hadapan hakim sejak Mac lalu serta ditahan dalam keadaan yang amat teruk, termasuk penderaan fizikal, kekurangan rawatan perubatan dan dikurung bersendirian yang berpanjangan.
Walaupun terdapat gesaan antarabangsa agar beliau dibebaskan kerana keadaan kesihatannya yang semakin merosot serta peranannya yang penting dalam sistem perubatan Gaza, Israel tetap meneruskan penahanannya.
Rakaman video selepas serbuan penahanannya menunjukkan beliau memakai bahu putih doktor, berjalan di celah runtuhan menuju ke arah kereta kebal Israel.
Tentera Israel mendakwa bahawa Abu Safiya ditahan sebagai suspek dan sedang disiasat kerana kemungkinan terbabit dalam aktiviti pengganas.
Pada September lalu, Physicians for Human Rights (PHR) memaklumkan bahawa seorang peguam mereka telah melawat Abu Safiya di Penjara Ofer, barat Ramallah di Tebing Barat yang diduduki dan mendokumentasikan keadaan tahanannya.
Menurut organisasi itu, Abu Safiya kehilangan hampir 25 kilogram berat badan, menghidap penyakit kudis yang tidak dirawat sewajarnya, dan kesihatannya semakin merosot dengan ketara.
Beliau masih tidak dimaklumkan mengenai pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
PHR turut menyatakan bahawa doktor itu mengalami dilayan dengan buruk, serta dinafikan pemeriksaan kesihatan walaupun mempunyai sejarah penyakit jantung dan tekanan darah tinggi.
Keadaan dalam tahanannya turut dilaporkan melibatkan kekurangan makanan, pakaian kotor serta serangan berulang oleh pengawal penjara.
Naji Abbas, Ketua Bahagian Tahanan PHR, menggesa Israel supaya membebaskan Abu Safiya dan semua petugas kesihatan yang ditahan, menyifatkan tindakan itu sebagai jenayah moral dan undang-undang.
Pada Februari lalu, media Israel menyiarkan rakaman video menunjukkan Abu Safiya dalam tahanan, tangan dan kakinya bergari serta kelihatan sangat letih.
Sepanjang peperangan, Abu Safiya turut mengalami kehilangan ahli keluarga. Anaknya, Ibrahim, terbunuh apabila tentera Israel menyerbu Hospital Kamal Adwan pada 26 Oktober 2024.
Sebulan kemudian, beliau sendiri cedera dalam serangan udara Israel ke atas hospital yang sama, namun tetap enggan meninggalkan tempat itu dan terus merawat pesakit.
Akhirnya, beliau ditangkap pada 27 Disember 2024, ketika tentera Israel sekali lagi menyerbu kemudahan berkenaan. – TRT WORLD
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi