BANGI, 21 RABIULAKHIR – Keupayaan memahami dan mengurus situasi krisis terutama dari segi pengawalan naratif sepatutnya menjadi antara kemahiran asas bagi seorang menteri atau pemimpin bagi mencegah kekecohan atau kemarahan rakyat
Namun, kualiti ini dilihat tidak menyerlah dalam kalangan pemimpin hari ini apabila kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan berhubung sesuatu isu hanya mengundang kritikan atau kecaman daripada orang ramai.
Contoh terbaik yang kita dapat lihat ialah kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung kes rogol secara bergilir-gilir membabitkan pelajar sekolah menengah di Melaka baru-baru ini.
Secara ringkas, kenyataan menteri merujuk kepada status keempat-empat suspek yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Untuk rekod, keempat-empat suspek telah dibuang sekolah serta-merta, demikian menurut kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, hari ini.
Merujuk kepada jawapan Fadhlina kepada pihak media, semua suspek itu tetap akan menduduki peperiksaan tersebut yang dijadual bermula pada November depan meskipun siasatan masih dijalankan oleh pihak polis.
Jika melihat daripada aspek undang-undang, kenyataan menteri itu sebenarnya betul kerana semua suspek sememanngya sudah berdaftar sebagai calon SPM dan berhak menduduki peperiksaan itu.
Namun begitu, kesilapan besar Fadhlina adalah apabila beliau tidak menjangkakan bahawa kenyataan yang telah dibuat ibarat ‘mencurah minyak ke dalam api’ kerana ia hanya mengundang kemarahan rakyat terhadap kementerian dan dirinya.
In kerana, kenyataan Fadhlina dilihat tidak kena pada tempat dan ramai melihat jawapan menteri itu seolah-olah ‘membela’ hak suspek berbanding mangsa yang telah dirogol.
Naratifnya tidak susah untuk difahami. Masyarakat berasa simpati terhadap situasi mangsa yang pastinya akan berdepan trauma akibat detik hitam yang terpaksa dilaluinya.
Ramai juga meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak di sekolah, malah ada yang mengkritik sistem pendidikan semasa – seperti meminta hukuman rotan dikembalikan dengan niat mendidik pelajar secara tegas.
Ada yang berkongsikan pandangan mengenai peranan ibu bapa supaya tidak terlalu memanjakan anak-anak atau berhenti mensasarkan guru apabila anak berdepan tindakan di sekolah.
Jadi, semua menumpu kepada usaha untuk menambah baik sistem pendidikan negara dan meningkatkan keselamatan anak-anak di sekolah bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada masa hadapan.
Tetapi, kenyataan Fadhlina dilihat cenderung ke arah lain dan memberi gambaran bahawa beliau tidak berkongsi simpati yang sama dengan masyarakat umum.
Sebagai seorang wartawan, penulis faham situasi Fadhlina yang mana beliau hanya menjawab soalan dikemukakan oleh pihak media dan sekali lagi penulis ingin menegaskan bahawa jawapan menteri adalah betul cuma tidak kena pada waktunya.
Kerana itu pentingnya seorang menteri bersedia dengan segala kemungkinan termasuk dalam mengeluarkan kenyataan – sama ada dalam sidang media atau sesi ‘jolokan’ (temu bual secara mengejut) – dalam suasana krisis agar kenyataannya tidak disalah tafsir oleh mana-mana pihak.
Justeru, kementerian memerlukan pasukan komunikasi korporat atau pegawai media yang proaktif sebagai benteng pertahanan pertama untuk mengawal naratif sebelum masyarakat mula mencipta ‘cerita’ sendiri.
Pegawai-pegawai media yang sepatutnya bersedia berdepan dengan situasi krisis seperti ini dan menasihatkan menteri atau jurucakap kementerian mengenai ‘pantang-larang’ dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak mencetuskan kemarahan rakyat.
Malang sekali, situasi ini terus berulang dari semasa ke semasa.
Contohnya, kelewatan Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir mencetuskan begitu banyak spekulasi hingga mencetuskan protes di Sabah.
Selain itu, kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mengulas mengenai kepentingan pemasangan kerusi kanak-kanak berhubung isu kemalangan maut di Plaza Tol Kajang pada awal bulan ini. Isu ini ramai mendesak Loke tumpu kepada isu kemalangan maut membabitkan kenderaan berat.
Sebagai kesimpulan, komunikasi adalah kunci utama dalam memastikan keharmonian dan mencegah kekecohan di samping pihak bertanggungjawab menguruskan krisis yang sedang berlaku.
Kegagalan mengawal naratif atau memahami situasi semasa hanya akan memburukkan keadaan selain menyukarkan pihak berkuasa menjalankan tugas.
Ini sekali gus akan memberi gambaran bahawa kementerian atau menteri tidak serius atau telah gagal menyelesaikan krisis yang sedang berlaku. Sekurang-kurangnya, itulah pandangan masyarakat umum yang akhirnya memberi imej buruk kerajaan.
Oleh: Azzman Jamal, wartawan TV Pertiwi
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi