‘Sober Curious’: Gelombang baharu dunia Barat tinggalkan arak

BANGI, 16 RABIULAKHIR – Ketika Malaysia kecoh dengan isu minum arak membabitkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, di kota-kota besar Barat yang selama ini sinonim dengan pesta dan minuman keras, fenomena baharu sedang menular secara senyap tetapi nyata. 

Ia adalah gerakan “sober curious” iaitu gelombang sosial yang menyoal semula keperluan arak dalam gaya hidup moden, dan memilih kesedaran berbanding mabuk sebagai tanda kemajuan.

Jika selama ini, generasi muda di Barat menjadikan minum arak sebagai lambang kebebasan dan pergaulan, kini mereka mula mempersoalkan, mengapa keseronokan mesti bergantung kepada racun?

Gerakan kesedaran baharu

Istilah sober curious mula popular sekitar 2018 melalui buku The Sober Curious Movement tulisan Ruby Warrington, seorang wartawan British yang dirinya meninggalkan alkohol selepas menyedari kesan buruk terhadap kesihatan mental dan fizikal.

Maknanya mudah, bukan sekadar berhenti minum, tetapi bersikap ingin tahu mengapa dan bila kita minum, serta berani mempersoalkan budaya sosial yang menjadikan arak sebagai simbol normal dan glamor.

Mereka yang menyertai gerakan ini tidak semestinya penagih atau dalam proses rawatan. Sebaliknya, mereka ialah orang biasa yang sedar bahawa setiap teguk arak walaupun sedikit memberi kesan kepada tubuh dan minda.

Gelombang `sober curious’ muncul seiring dengan kemunculan data saintifik baharu mengenai bahaya alkohol. Laporan menyeluruh The Lancet pada 2018 yang menganalisis data dari 195 negara menegaskan bahawa tiada paras selamat untuk pengambilan alkohol.

Kajian itu menolak mitos lama bahawa minum “sedikit” baik untuk jantung. Sebaliknya, setiap pengambilan alkohol, walaupun minimum, meningkatkan risiko penyakit jantung, kanser dan kerosakan hati.

Penemuan itu memberi justifikasi saintifik kepada mereka yang memilih berhenti minum bukan atas dasar agama, tetapi atas dasar ilmu dan kesedaran diri.

Generasi Z: Lebih waras

Antara tanda paling ketara perubahan ini ialah peralihan sikap generasi muda. Di Amerika Syarikat dan United Kingdom, Generasi Z dan milenial menjadi peneraju gerakan `sober curious’.

Analisis oleh firma penyelidikan NCSolutions pada 2024 mendapati minat Gen Z terhadap gaya hidup bebas alkohol meningkat 53 peratus dalam tempoh setahun. Hampir 61 peratus daripada mereka berhasrat mengurangkan pengambilan alkohol pada tahun semasa.

Sementara itu, laporan Mintel Research menunjukkan hampir 40 peratus rakyat Amerika Syarikat kini mengamalkan gaya hidup `sober curious’, sama ada secara sepenuh masa atau sekali-sekala.

Bagi generasi ini, kesihatan mental, tidur berkualiti, kecergasan fizikal dan keseimbangan emosi lebih bernilai daripada pesta yang berakhir dengan mabuk.

Perubahan itu turut mencetuskan gelombang industri baharu di Barat. Restoran dan bar mula memperkenalkan menu “zero-proof” iaitu minuman bebas alkohol yang direka menyerupai koktel tradisional, tetapi tanpa kesan mabuk.

Kedai khusus seperti Sans Bar di Texas dan Zeroproof Nation di New York menjadi tempat pertemuan komuniti `sober curious’, menawarkan ruang bersosial tanpa tekanan sosial untuk minum.

Malah, acara hiburan seperti Daybreaker, pesta tarian pagi tanpa alkohol semakin popular di kota raya seperti London, New York dan Sydney. Pesertanya menari, bersenam dan bersosial sambil minum kopi atau jus segar, bukan lagi arak.

Fenomena ini menunjukkan bahawa hiburan tidak semestinya memerlukan pelarian. Ia boleh berpaksikan kesedaran dan kesejahteraan diri.

Dari kesihatan ke kemanusiaan

Motivasi utama gerakan ini bukan agama, tetapi kesedaran diri dan nilai kemanusiaan. Ramai peserta menyertai kerana mahu menjaga kesihatan, menjimatkan wang, atau memperbaiki hubungan sosial.

Arak tidak lagi dilihat sebagai “simbol kematangan”, tetapi sebaliknya punca kemurungan, kecemasan, dan kegagalan diri.

Kajian oleh World Psychiatry Journal (2021) menunjukkan 40 peratus kes bunuh diri di dunia berkait dengan alkohol. Statistik itu menggerakkan ramai anak muda Barat menilai semula makna kebebasan: adakah kebebasan itu terletak pada kemampuan meminum, atau keberanian untuk menolak minuman?

Fenomena ini menyebabkan industri minuman Barat sedang berubah wajah. Syarikat-syarikat besar seperti Heineken, Guinness dan Pernod Ricard melancarkan versi non-alkoholik produk mereka untuk memenuhi permintaan pasaran.

Pasaran minuman bebas alkohol dunia kini dianggarkan bernilai lebih AS$13 bilion dan dijangka terus meningkat menjelang 2030. Fenomena ini bukan sahaja mencerminkan trend kesihatan, tetapi  perubahan nilai budaya yang semakin menghargai kesederhanaan.

Menolak normalisasi mabuk

Gerakan sober curious bukan sekadar soal kesihatan, ia adalah bentuk penentangan lembut terhadap normalisasi mabuk dalam budaya Barat.

Selama berdekad, industri alkohol mengukir imej glamor melalui iklan, filem dan muzik, menjadikan minum arak kelihatan sinonim dengan kebebasan, kecantikan dan kejayaan. Kini, generasi baharu melihat propaganda itu sebagai bentuk manipulasi.

Seperti kata Ruby Warrington dalam bukunya: “Kita tidak perlukan arak untuk menjadi diri kita yang sebenar. Kita cuma perlukan keberanian untuk tidak menirunya.”

Menariknya, gerakan ini lahir di Barat yang arak tidak diharamkan, malah diangkat sebagai budaya sosial. Namun kini, kesedaran yang mereka temui melalui sains dan pengalaman sebenarnya seiring dengan nilai yang Islam sudah gariskan lebih 1,400 tahun lalu.

Larangan arak dalam Islam bukan sekadar hukum, tetapi perlindungan terhadap akal dan maruah manusia. Apa yang saintis baru buktikan kini hanyalah hikmah lama yang kembali disedari manusia moden.

Barangkali, di sebalik gerakan `sober curious’ ini, tersirat  pengakuan senyap bahawa kebebasan sebenar bukan pada hak untuk minum, tetapi pada kebijaksanaan untuk menolak.

Jika Barat mula berubah, adakah Malaysia mahu bergerak ke arah sebaliknya?

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Amaran tidak memadai, desakan pecat Tiong King Sing semakin kuat

Next Post

Freedom Flotilla Coalition: 9 aktivis Malaysia ke Gaza ditahan tentera Israel

Related Posts