Kekejaman di Gaza: Israel makin terpencil  

NEW YORK, 15 RABIULAKHIR – Amerika Syarikat (AS) tidak boleh menafikan kesan perang di Gaza terhadap kedudukan global Israel, kata Setiausaha Negara AS Marco Rubio, ketika pengasingan diplomatik Israel semakin meningkat walaupun Washington berusaha melindungi sekutunya.

“Sama ada anda percaya ia wajar atau tidak, betul atau tidak, anda tidak boleh mengabaikan kesan terhadap kedudukan global Israel,” kata Rubio kepada program Face The Nation terbitan CBS News.

Beliau menjawab soalan mengenai kenyataan Presiden Donald Trump kepada stesen televisyen Israel, Channel 12, dalam satu temu bual yang disiarkan Sabtu lalu: “Bibi (Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu) telah melampau di Gaza dan Israel kehilangan banyak sokongan dunia. Sekarang saya akan pulihkan semua sokongan itu.”

AS selama beberapa dekad melindungi sekutunya Israel di PBB. Berikut bagaimana ia berlaku sepanjang perang Gaza:

Adakah AS menggunakan kuasa veto Majlis Keselamatan PBB mengenai Gaza?

AS menggunakan veto sebanyak enam kali di Majlis Keselamatan PBB dalam tempoh dua tahun lalu untuk melindungi Israel berhubung draf resolusi berkaitan perang di Gaza antara Israel dan pejuang Palestin, Hamas.

Veto terbaharu Washington adalah bulan lalu terhadap satu draf resolusi Majlis Keselamatan yang menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan di Gaza serta menuntut Israel menarik balik semua sekatan terhadap penghantaran bantuan ke wilayah Palestin itu. Sebanyak 14 anggota lain majlis itu menyokong, meninggalkan AS terpencil.

Bulan lalu, AS bersetuju dengan kenyataan Majlis Keselamatan yang mengecam serangan terbaru Israel di ibu negara Qatar, Doha, tetapi teks itu tidak menyebut nama Israel secara khusus.

Apa yang berlaku di Perhimpunan Agung PBB?

Perhimpunan Agung yang dianggotai 193 negara meluluskan beberapa resolusi mengenai Gaza, kebanyakan selepas Majlis Keselamatan dihalang bertindak oleh veto AS. Dalam undian itu, Israel dan AS sering terpencil.

Resolusi Perhimpunan Agung tidak mengikat, tetapi berpengaruh kerana mencerminkan pandangan global terhadap perang tersebut. Tidak seperti Majlis Keselamatan, tiada negara mempunyai kuasa veto di Perhimpunan Agung.

Terbaharu, Perhimpunan Agung menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan di Gaza serta akses bantuan. Resolusi itu disokong oleh 149 undi, 19 negara berkecuali, manakala AS, Israel dan 10 negara lain menentang.

Pada Oktober 2023, Perhimpunan Agung menggesa gencatan kemanusiaan segera dengan 120 undi sokongan. Pada Disember 2023, 153 negara mengundi menyokong gencatan kemanusiaan segera. Kemudian pada Disember 2024, gesaan yang sama berkeputusan 158 undi sokongan.

Apa tindakan mengenai penyelesaian dua negara?

Semalam, Rubio berkata, “disebabkan tempoh perang ini dan bagaimana ia berlangsung,” beberapa kuasa Barat utama – Perancis, Britain, Australia dan Kanada – memutuskan untuk mengiktiraf negara Palestin.

Perancis dan Arab Saudi menganjurkan sidang kemuncak antarabangsa di PBB pada Julai lalu, disusuli dengan sidang kemuncak di PBB bulan lalu, bagi menggariskan langkah menuju penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.

Bulan lalu, Perhimpunan Agung dengan majoriti besar meluluskan deklarasi dari sidang Julai itu yang menggariskan langkah “nyata, bertempoh, dan tidak boleh dipatahkan” ke arah penyelesaian dua negara. Resolusi mengesahkan deklarasi itu menerima 142 undi sokongan, 10 undi menentang, manakala 12 negara berkecuali.

PBB sejak sekian lama menyokong visi dua negara hidup berdampingan dalam sempadan yang selamat dan diiktiraf. Palestin mahu sebuah negara di Tebing Barat, Baitul Maqdis Timur dan Semenanjung Gaza, iaitu wilayah yang ditawan Israel dalam perang 1967 dengan negara Arab.

AS berkata, penyelesaian dua negara hanya boleh dicapai melalui rundingan antara Israel dan Palestin. Netanyahu pula dengan angkuh menyatakan tidak akan membenarkan negara Palestin, walaupun beliau menerima rancangan Trump untuk menamatkan perang Gaza, yang menawarkan laluan bersyarat ke arah pembentukan negara Palestin. — REUTERS

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Ridhuan Tee kecam majlis hidangan arak: ‘Memalukan di negara Islam’

Next Post

Kontroversi arak: PMX digesa gugurkan Tiong King Sing – BERJASA

Related Posts