BANGI, 14 RABIULAKHIR – Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah mengecam keras tindakan menghidangkan minuman beralkohol pada majlis makan malam sempena pelancaran Global Travel Meet baru-baru ini, dengan menyifatkannya sebagai memalukan di sebuah negara Islam.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing memaklumkan, makan malam yang melibatkan hidangan arak itu dianjurkan oleh pihak swasta.
Beliau mendakwa, sememangnya sejak awal kementeriannya merupakan penganjur utama majlis tersebut tetapi ada pihak swasta yang kemudiannya menyatakan hasrat untuk mengambil alih penganjurannya.
Ridhuan Tee berkata, apa sahaja alasan yang diberikan, ia tidak boleh menghalalkan tindakan menghidangkan arak di majlis yang dihadiri oleh orang Islam.
“Katakanlah, benarlah, majlis tersebut anjuran industri (swasta), tetapi ingat, ianya dihadiri oleh ramai orang Islam daripada kementerian terbabit.
“Garis panduan tetap terpakai. Takkan tidak faham dan tidak sensitif. Ini negara majoriti Islam,” tegasnya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau turut menegaskan bahawa alasan pihak tertentu yang menyatakan arak perlu dihidangkan kerana majlis itu melibatkan bukan Islam dan pulangannya besar adalah tidak masuk akal.
Bahkan, Ridhuan Tee menekankan akibat negatif daripada tindakan tersebut, terutama kepada umat Islam yang mungkin terlibat.
“Bayangkan selepas usai majlis tersebut, ramai yang mabuk, kemudian memandu kereta, langgar orang lain. Biasanya yang terkena adalah orang Islam. Bagaimanakah kita mahu menghadapi semua ini? Dia yang salah, kita yang jadi mangsa.” katanya.
Justeru, beliau merayu kepada pemimpin tertinggi negara supaya mengambil tindakan tegas, sambil menegaskan bahawa teguran beliau adalah untuk kebaikan, bukan untuk mencari kesalahan.
“Saya merayu kepada pemimpin tertinggi negara, setiap saya tegur, demi untuk kebaikan, bukan untuk mencari kesalahan atau kelemahan.
“Tetapi jika kamu tidak mahu mengambil tindakan, jangan salah saya jika saya terus memberikan tekanan dan kritikan terhadap kamu, kerana amar makruf nahi mungkar adalah kerja asas saya sebagai umat Islam,” tegasnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi