Global Sumud Flotilla ajak dunia henti kekejaman Israel di Gaza

BANGI, 11 RABIULAKHIR – Armada Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini dalam misi kemanusiaan ke Gaza sekali lagi menjadi tumpuan dunia selepas hampir semua kapalnya dihalang tentera laut rejim Zionis Israel sekitar 70 hingga 75 batu nautika dari perairan Gaza sejak awal minggu ini.

Tindakan itu membawa kepada penahanan lebih 400 aktivis dari 44 negara, termasuk rakyat Malaysia dengan sebahagian kini berdepan proses deportasi.

Misi GSF bukan sekadar pelayaran simbolik. Ia adalah manifestasi gerakan masyarakat sivil antarabangsa yang menolak sekatan Israel ke atas Gaza, sekatan yang ramai pihak lihat sebagai tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa kerana menghalang keperluan asas penduduk. 

Walaupun berkaitan isu Palestin, majoriti peserta flotilla bukan beragama Islam. Mereka datang daripada pelbagai latar, ahli politik Eropah, aktivis hak asasi, doktor, jurutera, pelajar, hingga kepada personaliti awam terkenal seperti Greta Thunberg. 

Sumud dalam bahasa Arab bermaksud ketabahan, konsep yang sudah lama sinonim dengan daya tahan rakyat Palestin. Namun di perairan Mediterranean, ia kini mengambil makna lebih luas, iaitu simbol solidariti masyarakat global terhadap penindasan yang dianggap melampaui batas. 

Lebih 40 kapal dan hampir 500 sukarelawan menyertai armada kali ini, membawa bekalan perubatan, makanan dan bantuan asas lain, selain menuntut hak kebebasan bergerak rakyat Gaza yang terkurung lebih 17 tahun.

Israel mempertahankan sekatan maritimnya atas alasan keselamatan, dengan merujuk kepada manual San Remo yang memberi kuasa kepada negara untuk mencegah penghantaran bekalan yang didakwa berpotensi digunakan bagi tujuan ketenteraan.

Namun, hujah ini ditolak oleh ramai pakar undang-undang antarabangsa yang menegaskan bahawa sekatan yang menjejaskan kelangsungan hidup awam adalah melanggar prinsip Konvensyen Geneva.

Malah, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) baru-baru ini menegaskan kewajipan semua pihak untuk memastikan penderitaan awam diminimumkan dalam konflik bersenjata.

Heidi Matthews, profesor undang-undang maritim di York University, Kanada, menyatakan bahawa sukarelawan flotila tidak berniat memasuki wilayah Israel, melainkan kawasan Palestin yang diduduki, semata-mata untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan.

“Jika mereka berakhir di Israel, itu bukan atas kehendak mereka, tetapi akibat “penculikan paksa” oleh tentera laut Israel,” katanya.

Ketegangan diplomatik turut meningkat. Afrika Selatan, yang sejak sekian lama lantang menentang dasar Israel, menuntut pembebasan segera aktivisnya yang ditahan. Beberapa negara Eropah pula mengambil pendirian lebih berhati-hati; Sepanyol dan Itali misalnya dilaporkan memberi sokongan logistik sepanjang pelayaran flotila, walaupun tidak mahu berdepan secara langsung dengan Israel. 

Reaksi itu sekali lagi menyerlahkan perpecahan geopolitik dengan negara Selatan lebih vokal membela Palestin, manakala sebahagian besar negara Barat memilih jalan kompromi demi menjaga hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Tel Aviv.

Sejarah flotilla sarat dengan risiko. Pada 2010, dunia dikejutkan dengan serangan komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara yang mengorbankan sembilan aktivis Turkiye. Episod itu menjadi ingatan kolektif bahawa sebarang percubaan menembusi sekatan Gaza boleh berakhir dengan tragedi.

Walaupun berdepan bahaya yang sama, aktivis kali ini tetap memilih untuk belayar, menegaskan bahawa solidariti kemanusiaan tidak boleh dipatahkan dengan ugutan senjata.

GSF juga mengundang perbahasan undang-undang yang kompleks. Adakah tindakan Israel menghalang kapal awam di perairan antarabangsa boleh dianggap sah?

Menurut prinsip kebebasan pelayaran antarabangsa, kawasan perairan itu sepatutnya bebas daripada kawalan mana-mana negara. Namun Israel angkuh dengan alasan wujud ancaman keselamatan daripada Hamas memberi justifikasi untuk bertindak jauh daripada perairannya.

Pertikaian ini menambah tekanan terhadap sistem undang-undang antarabangsa yang sedia rapuh apabila berdepan kuasa besar.

Di mata aktivis, isu ini tidak rumit. “Kami belayar kerana kanak-kanak di Gaza kekurangan ubat, bukan kerana politik atau ideologi,” kata seorang doktor dari Itali yang sempat diwawancara sebelum kapal dinaiki tentera Israel. Naratif seperti ini memperkukuh imej flotila sebagai suara kemanusiaan, melangkaui sempadan bangsa dan agama.

Walaupun hampir semua kapal ditahan, misi GSF tetap mencapai matlamat moralnya, iaitu memecahkan keheningan global dan memaksa dunia menoleh ke arah Gaza yang masih terkurung. Bagi masyarakat antarabangsa yang mendukungnya, flotila adalah simbol penegasan bahawa keadilan tidak boleh disekat di tengah lautan.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Konvensyen tolak RUU URA, gesa hak pemilik diutamakan

Related Posts