BANGI, 10 RABIULAKHIR – Sekurang-kurang 12 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, ditahan tentera Israel selepas rejim Zionis itu memintas kapal berkenaan.
Terbaru adalah Farah Lee dan Danish Nazram dari kapal Grande Blu.
Mesej SOS kecemasan bagi semua 12 sukarelawan berkenaan disiarkan di media sosial Sumud Nusantara, menandakan mereka dalam tahanan Israel.
Rakyat Malaysia yang ditahan sebelum ini ialah Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga; Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli daripada kapal Sirius.
Turut ditahan Heliza Helmi dan Hazwani Helmi dari kapal Hio, Iylia Balqis, Ahmad Musa Al-Nuwayri dan dan Sul Aidil dari kapal Alma.
Menurut sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Grande Blu dipintas pada 12.58 tengah malam waktu Gaza, manakala Hio pada 2.34 pagi pada kedudukan kira-kira 60 batu nautika dari Gaza.
Setakat 7.50 pagi waktu Malaysia, seramai 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan SNCC selepas kapal mereka dipintas.
SNCC memaklumkan setakat ini, sepuluh kapal berada pada status `diserang’ manakala 13 kapal lagi menghantar isyarat `kecemasan’.
Sementara itu, agensi berita Turkiye, Anadolu, melaporkan pasukan tentera laut Israel menyerang kapal GSF dan menahan puluhan aktivis di atas kapal.
Menurut GSF, kapal mereka dikepung ketika dalam pelayaran menuju Gaza bagi mencabar sekatan Israel yang berlarutan hampir dua dekad. Aktivis melaporkan isyarat komunikasi terganggu serta diputuskan di kebanyakan kapal.
Jawatankuasa Antarabangsa Membanteras Kepungan Gaza (ICBSG) mengesahkan enam kapal diserbu, termasuk Alma, Sirius, Adara dan Deir Yassin. Beberapa aktivis turut menyiarkan rakaman video di media sosial yang menunjukkan bot tentera laut Israel menghampiri konvoi serta mengarahkan mereka menukar haluan.
“Kami sedang diserang oleh tentera Zionis (Israel),” kata ICBSG di platform media sosial X. “Sebahagian kapal telah dipintas dan darurat diisytiharkan di semua kapal. Kamera tidak lagi berfungsi dan kapal telah dinaiki tentera.”
Menurut jawatankuasa itu lagi, tentera laut Israel menggunakan kekerasan termasuk merempuh kapal, menyembur meriam air serta memaksa naik ke atas kapal sambil “melayan tahanan secara kasar”, melibatkan aktivis dari 50 negara.
Setakat ini, penganjur berkata sekitar 70 aktivis telah ditahan.
Kementerian Luar Israel mengesahkan sebahagian aktivis ditahan dan akan dibawa ke pelabuhan Ashdod di selatan Israel untuk pemeriksaan. Laporan media Israel menyebut operasi merampas flotila itu akan berterusan hingga hari ini.
Flotila berkenaan berada kurang 80 batu nautika (148 kilometer) dari Gaza ketika dipintas. Aktivis menganggarkan lebih 20 bot tentera laut Israel menghampiri konvoi sambil mengarahkan mereka berpatah balik.
Rakaman siaran langsung dari flotila menunjukkan aktivis memakai jaket keselamatan sebaik bot Israel mendekati kapal mereka.
Serangan itu berlaku meskipun terdapat rayuan daripada pertubuhan antarabangsa, termasuk Amnesty International, supaya flotila bantuan tersebut dilindungi. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi amaran bahawa sebarang serangan terhadap konvoi itu tidak boleh diterima.
Flotila yang membawa bekalan bantuan kemanusiaan dan perubatan itu belayar sejak akhir Ogos lalu. Ia merupakan kali pertama dalam beberapa tahun lebih 50 kapal digerakkan serentak menuju Gaza, membawa 532 sukarelawan awam dari lebih 45 negara.
Israel mengenakan sekatan terhadap Gaza yang didiami hampir 2.4 juta penduduk sejak 18 tahun lalu, dan memperketatkannya pada Mac dengan menutup lintasan sempadan serta menyekat penghantaran makanan dan ubat-ubatan sehingga mendorong krisis kebuluran.
Sejak Oktober 2023, serangan udara Israel mengorbankan lebih 66,100 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. PBB serta badan hak asasi manusia berulang kali memberi amaran bahawa Gaza semakin tidak layak didiami, dengan kebuluran dan penyakit merebak pantas.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi