BANGI, 10 RABIULAKHIR – Mantan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, menegaskan bahawa Kampung Sungai Baru merupakan sebahagian daripada tanah Malay Agricultural Settlement (MAS) dan perlu dikekalkan statusnya sebagai tanah rizab Melayu.
Beliau yang juga anak jati Kampong Bharu serta mantan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) berkata, fakta sejarah dan dokumen rasmi membuktikan kedudukan tersebut.
“Baru-baru ini timbul isu tentang pembangunan Kampung Sungai Baru yang mana ia merupakan satu kawasan di bawah MAS.
“Berdasarkan fakta ini, jelaslah bahawa Kampung Sungai Baru adalah sebahagian daripada tanah MAS dan oleh yang demikian, ia hendaklah kekal sebagai tanah rizab Melayu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Ambrin yang juga Ahli Dewan Diraja Selangor berkata, pewartaan tanah MAS pada 12 Januari 1900 oleh Sultan Ala’iddin Sulaiman Shah mengkhususkan kawasan berkeluasan kira-kira 220 ekar itu untuk penempatan masyarakat Melayu.
Keputusan itu, katanya turut diperkuatkan dengan kajian Royal Commission of Enquiry (RCE) pada 1957 serta keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 17 Mei 1974 sebelum Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditubuhkan.
Beliau berkata, surat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 5 Mei 1970 juga secara jelas menyatakan bahawa tanah Kampung Sungai Baru adalah tanah khas untuk orang Melayu dan boleh diwakafkan demi kepentingan masyarakat Melayu sahaja.
“Saya membuat kesimpulan bahawa tanah Kampung Sungai Baru boleh diklasifikasikan sebagai sebahagian daripada tanah MAS,” tegasnya.
Justeru, beliau menggesa isu berkenaan dirundingkan secara bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor, termasuk dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai pakar undang-undang tanah, sejarah, perancangan bandar serta tokoh masyarakat Kampong Bharu.
Ambrin berkata, langkah itu penting bagi mencari penyelesaian tuntas dan mempertahankan hak orang Melayu di Kampong Bharu sesuai dengan hasrat Sultan Selangor ketika itu agar orang Melayu terus memiliki tanah serta penempatan di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 18 September lalu yang menegaskan bahawa Kampung Sungai Baru adalah sebahagian daripada Kampong Bharu.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi