1. Pelan Komprehensif yang diisytiharkan oleh Donald Trump pada 29 September perlu dibaca secara tersurat dan tersirat. Pelan itu tidak boleh dibaca berasingan dari segala tindak tanduk Amerika Syarikat (AS) dan Israel selama bertahun-tahun sebelum ini.
2. Beberapa pendirian yang konsisten dari AS dan Israel selama ini adalah:
i. tidak pernah mengaku melakukan genosid terhadap penduduk Gaza.
ii. sentiasa menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas dan punca kepada apa yang berlaku di Gaza.
iii. tidak pernah bersetuju dengan Two State Solution bahkan berkali-kali menolak penubuhan negara Palestin dan konsisten dalam pelan pengosongan Gaza.
iv. menafikan sejarah pencabulan terhadap Palestin oleh Barat dan kemudiannya oleh Israel yang berlaku sejak Deklarasi Balfour 1917.
v. tidak menginginkan perdamaian bahkan beberapa kali menolak rancangan gencatan senjata
3. Kenyataan Wisma Putra adalah kenyataan diplomatik yang perlu dibuat untuk menyatakan pendirian umum. Kerajaan Malaysia diharap dapat menunjukkan sokongan sebenar kepada Palestin melalui langkah dan tindakan yang lebih praktikal dan selari dengan polisi kerajaan terhadap Israel sebelum ini.
4. AS tidak akan berpada dengan kenyataan umum Wisma Putra itu. Dijangkakan tekanan yang lebih kuat akan dikenakan ke atas Malaysia dalam pendiriannya terhadap isu Palestin dan Pelan Komprehensif itu.
Beberapa garis merah yang kita harapkan kerajaan Malaysia tidak akan kompromi antaranya:
i. tidak akan menyenaraikan Hamas sebagai kumpulan pengganas dan akan terus memberikan perlindungan kepada warga Palestin untuk terus menetap dan hidup di Malaysia tanpa tekanan
ii. tidak akan mengiktiraf kerajaan Israel samada secara de jure atau de facto.
iii. tidak bersetuju dengan pelan pengosongan Gaza dan pemindahan penduduknya ke mana-mana negara Arab atau dunia Islam
iv. tidak bersetuju dengan pelan ‘pengampunan’ pimpinan Hamas dan pengusiran mereka ke luar dari Palestin. Tidak menerima sama sekali cadangan agar Hamas melucutkan senjata.
v. tidak bersetuju dengan pelan penyerahan Palestin kepada ‘badan berkecuali antarabangsa’ sebaliknya sentiasa konsisten dalam memastikan bahawa masa depan Palestin mesti ditentukan oleh warga Palestin sendiri
5. Pihak kerajaan juga diharap dapat melakukan permuafakatan nasional dengan badan-badan di tanahair yang terlibat secara langsung dengan isu Palestin untuk menentukan sikap dan tindakan yang lebih menjurus ke arah kemerdekaan Palestin.
Wallahu a’lam
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP)