Bandar Ainsdale dan Southville City: Siapa kawal penamaan hartanah?

BANGI, 1 RABIULAKHIR – Nama perumahan dan bandar baharu berwajah asing seperti Bandar Ainsdale dan Southville City menimbulkan banyak persoalan, iaitu sejauh mana usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan di negara ini dan siapa sebenarnya yang berkuasa mengawal penamaan ini?

Jika diselidiki, sebenarnya perkara yang membabitkan hal ehwal papan tanda dan penamaan di Malaysia tidak boleh dilakukan sesuka hati kerana terdapat beberapa pihak yang menjadi `pengawal’, terutama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Peranan PBT, DBP dan JUPEM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai contoh dengan tegas menyatakan bahawa setiap papan tanda premis wajib mendapat pengesahan bahasa daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum lesen diluluskan.

Mengikut Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang antara lain mewajibkan semua iklan dalam bahasa Melayu selaras dengan peranan sebagai Bahasa Kebangsaan.  

Mengikut DBKL, semua permohonan papan tanda perlu mendapatkan pengesahan visual daripada DBP, iaitu dokumen wajib yang perlu diserahkan kepada DBKL. 

Nada yang sama muncul dalam Khidmat Nasihat Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM)-DBP, yang menjawab pertanyaan DBKL berhubung penamaan satu tempat dengan menyatakan: “Pihak kami mencadangkan penamaan premis menggunakan perkataan dalam bahasa Melayu yang secara tidak langsung memperkasakan Bahasa Kebangsaan di tempat awam.

PBT lain di seluruh negara juga mempunyai garis panduan bertulis yang cukup khusus. Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) misalnya menyatakan: “Perbendaharaan kata hendaklah dalam Bahasa Malaysia …” serta melarang mencampur aduk bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris seperti Taman Green Sentosa. Bagaimanapun, kelonggaran terhad bagi bahasa Inggeris diberikan bagi kawasan Daerah Perniagaan Utama (CBD) yang mesti disertai maksud dalam bahasa Melayu. 

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula mensyaratkan pengesahan ejaan bahasa Melayu oleh DBP (melalui sistem DBP Sah Bahasa) dalam permohonan papan tanda: “Ilustrasi iklan perlu mendapat pengesahan ejaan bahasa Malaysia daripada Dewan Bahasa dan Pustaka.” 

Di peringkat Persekutuan, ada pula Garis Panduan Penentuan Nama Geografi oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM): prinsipnya menekankan keseragaman ejaan/tulisan dan penerimaan masyarakat bahasa; nama bukan bahasa Melayu boleh dipakai dengan syarat pematuhan teknikal dan penerimaan pihak berkuasa penamaan. 

Kerangka undang-undang lebih luas menyandarkan penggunaan bahasa Melayu bagi maksud rasmi di bawah Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) relevan kerana proses pelesenan/pengiklanan ialah urusan rasmi. 

Secara ringkas, PBT mempunyai kuasa pelesenan; DBP menjadi pusat rujukan bahasa dan JUPEM membekalkan prinsip penamaan geografi. Ini bermaksud garis sempadan dasar itu sebenarnya sudah jelas. Persoalannya apakah yang menyebabkan penggunaan nama  asing untuk taman perumahan dan perbandaran masih berlaku?

Apa kata pemaju

Pemaju mengangkat hujah komersial, daya saing dan penampilan di pasaran. Naratif antarabangsa terserlah dalam bahan korporat Sime Darby Property, menerusi kenyataan mengenai Bandar Ainsdale di Negeri Sembilan, iaitu untuk menonjolkan produk dan gaya hidup moden.

Ketua Pegawai Operasi (COO) dipetik menyebut pelancaran fasa perumahan baharu Arina “highlights the on-going demand for affordably priced homes … in prime locations like Bandar Ainsdale” (menonjolkan permintaan berterusan terhadap rumah dengan harga yang mampu dimiliki … di kawasan utama seperti Bandar Ainsdale)   

Di Southville City berdekatan Bandar Baru Bangi yang dimajukan Kumpulan Mah Sing Bhd, naratifnya jelas beralih ke kluster ekonomi digital/AI: syarikat ini “membayangkan” Mah Sing DC Hub @ Southville City sebagai “a holistic digital infrastructure ecosystem” (ekosistem infrastruktur digital hoslistik), justifikasi penjenamaan Inggeris yang selari dengan sasaran pelabur pusat data serantau. 

Bagi pemaju, mereka tidak berhujah mengenai bahasa; mereka berhujah mengenai jualan, pelaburan dan publisiti. Nama Inggeris dilihat sebagai aset pemasaran selagi PBT membenarkan dan syarat bahasa pada papan tanda dipatuhi.

Di atas kertas, dasar bahasa di negara ini adalah jelas dengan papan tanda diwajibkan dalam bahasa Melayu, penamaan berbahasa Melayu digalakkan, dan campuran bahasa Melayu dan Inggeris tidak digalakkan. 

Beberapa PBT seperti MBSP menzahirkan ketetapan ini dalam garis panduan mereka. Namun realiti pasaran, pemaju bergerak ke arah sebaliknya: mereka mengejar khalayak seluas mungkin, termasuk warga asing yang lebih mesra dengan penjenamaan Inggeris.

Kuasa dan tanggungjawab

Masalah pokok bukan nama Inggeris semata-mata, tetapi ketidakselarasan antara kehendak dasar bahasa dan keperluan pasaran. Penyelesaiannya perlu praktikal, iaitu menetapkan hierarki yang konsisten.

Bahasa Melayu wajib didahulukan pada semua papan tanda dan sistem pandu arah (kedudukan, saiz dan fon), manakala bahasa Inggeris berperanan sebagai terjemahan. Campuran bahasa Melayu–Inggeris yang mengelirukan perlu dihentikan dan penguatkuasaan menyeluruh seperti yang dilakukan oleh MBSP perlu dilakukan.

Semakan DBP perlu dibuat di peringat kebenaran merancang lagi, bukan menunggu saat akhir papan tanda, selain perlu merujuk buku panduan DBP serta garis panduan penamaan geografi JUPEM supaya ejaan, makna dan keseragaman data alamat dipelihara. 

Pemaju hartanah juga perlu lebih kreatif dalam penamaan sesuatu projek dengan menerokai kekayaan flora, fauna, geografi dan sejarah setempat agar identiti kawasan dapat diwujudkan dan bukan mengambil jalan mudah dengan menggunakan nama Inggeris yang kelihatan elegan, tetapi miskin budaya dan sejarah tempatan.

Kuasa dasar ada di tangan PBT, disokong DBP dan prinsip JUPEM. Pemaju hartanah perlu memilih nama yang dapat menjual projek masing-masing kerana memang itu kerja mereka. 

Tugas PBT ialah memastikan nama projek, sama ada taman dan bandar baharu mematuhi identiti bahasa negara. Jika ini dapat dilakukan tidak lagi wujud kejanggalan projek perumahan bernama Southville City, tetapi nama tempat di sekeliling – Dengkil, Bangi Lama dan Jenderam. 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Siapa yang keliru? IDENTITI kritik alasan menteri pertahankan nama Port Dickson

Next Post

Sabah akan iktiraf UEC – Hajiji

Related Posts