Bahasa Melayu jiwa bangsa yang kian terpinggir

Kita sudah 68 tahun merdeka. Namun peliknya, dalam banyak hal, bahasa Melayu masih belum benar-benar merdeka. Sedangkan bahasa ini pernah menjadi lingua franca yang menghubungkan pelbagai bangsa di rantau Nusantara, bahasa persuratan yang kaya dengan tamadun ilmu, dan bahasa diplomasi yang dihormati kuasa dunia.

Hari ini keadaannya jauh berbeza. Di papan tanda, dalam iklan, mesyuarat rasmi, malah di bilik kuliah sekali pun, bahasa kebangsaan seolah-olah hanya bahasa kedua. Bangsa lain bangga mengangkat bahasa mereka – Jepun dengan Jepunnya, Korea dengan Koreanya, Perancis dengan Perancisnya. Tetapi kita? Masih ada yang segan silu menggunakan bahasa sendiri, kononnya bahasa asing lebih tinggi nilainya.

Sejarah membuktikan bahawa jatuh bangunnya sesebuah bangsa bergantung pada sejauh mana bahasa mereka dipertahankan. Negara-negara maju membuktikan bahawa pembangunan tidak pernah menghalang pemerkasaan bahasa. Namun di Malaysia, realitinya masih bercelaru.

Lebih menyedihkan, papan tanda, nama bangunan dan iklan banyak mengutamakan bahasa asing. Keadaan ini menanam persepsi bahawa bahasa Melayu hanyalah kelas kedua, walhal ia bahasa kebangsaan yang sepatutnya menjadi kebanggaan rakyat.

Pendidikan dan masa depan generasi

Bahasa adalah jiwa pendidikan. Jika gagal diperkasakan, generasi muda akan lebih selesa dengan bahasa asing, hingga akhirnya gagal menguasai bahasa sendiri. Sudah ada tanda-tanda jelas – anak-anak Malaysia lahir dan membesar di tanah air, tetapi lebih fasih berbahasa Inggeris daripada berbahasa Melayu.

Keadaan ini bukan salah pelajar, tetapi berpunca daripada dasar yang longgar dan sikap sambil lewa masyarakat terhadap bahasa kebangsaan. Jika dibiarkan, bahasa Melayu bukan sahaja akan hilang kekuatannya sebagai bahasa ilmu, bahkan terpinggir daripada kehidupan seharian rakyat sendiri.

Tokoh bahasa dan persuratan negara, Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan pernah mengingatkan: “Universiti adalah gedung ilmu yang ampuh, tidak sepatutnya membiarkan bahasa kebangsaan terus dipinggirkan apabila bahasa Inggeris diangkat terlalu tinggi dalam bidang akademik” (Astro Awani, 16 Januari 2020).

Beliau juga menegaskan: “Bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahasa rasmi negara ini, malah menjadi bahasa untuk umat Islam yang perlu dipertahankan oleh rakyat Malaysia” (PLM, 2019).

Bahasa kebangsaan lambang kedaulatan

Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi lambang maruah bangsa dan negara. Mengabaikannya bermakna kita sedang mengikis sedikit demi sedikit identiti dan jati diri sendiri.

Kerajaan perlu lebih tegas memastikan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya dalam urusan rasmi. Institusi pendidikan mesti mengangkat bahasa ini sebagai teras pembelajaran, bukan sekadar pelengkap. Media, korporat dan masyarakat pula wajar menjadi agen penyebar bahasa yang betul, indah dan membanggakan.

Bahasa Melayu tidak boleh dibiarkan terus terpinggir. Sudah tiba masanya semua pihak – kerajaan, institusi pendidikan, media dan masyarakat – memberi komitmen jelas untuk mengangkatnya semula. Harapannya, bahasa kebangsaan ini benar-benar dihormati dan diamalkan dalam kehidupan seharian, bukan sekadar pada nama.

Siti Fatimah Ishak
Wartawan TV Pertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

UEC sekolah Cina langgar semangat Akta Pendidikan 1996

Next Post

Nama penjajah tak wajar dijulang, Port Dickson mesti ditukar kepada Pantai Dermaga

Related Posts