BANGI, 5 RABIULAWAL – Kerajaan dilihat bersikap angkuh dan langsung tidak mempedulikan pandangan pemegang taruh serta rakyat berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun ia menyaksikan bantahan terbesar berbanding pelbagai RUU sebelum ini, kerajaan seolah-olah memekakkan telinga terhadap pelbagai permasalahan besar berkaitan URA.
“Sikap kerajaan dilihat angkuh dan langsung tidak mempedulikan pandangan pemegang taruh serta rakyat terbanyak,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menghentikan serta menarik balik pelaksanaan RUU URA 2025 dengan segera.
Menurutnya, pandangan ini bukan hanya membabitkan PAS, tetapi disokong oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu.
Katanya, PAS berpandangan bahawa terdapat pelbagai kelemahan, permasalahan dan kesan jangka panjang terhadap perpaduan serta keharmonian hidup rakyat Malaysia akibat pelaksanaan URA.
Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Perikatan Nasional (PN) telah menyatakan bantahan ketika peringkat Bacaan Pertama Dewan Rakyat, disusuli dengan pelbagai siri ceramah serta sesi penerangan oleh pelbagai pihak.
Namun, katanya sikap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dari DAP yang bertanggungjawab dalam hal ini amat angkuh.
“PAS akan terus membantah dan keangkuhan menteri serta kerajaan perlu ditegur melalui himpunan aman oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, PAS bersama rakan-rakan dalam PN akan menggerakkan seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai himpunan mega bagi membantah akta ini jika kerajaan masih enggan mendengar pandangan PAS dan pelbagai pihak lain.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi