BANGI, 3 RABIULAWAL – Negeri-negeri yang membentuk kerjasama gabungan SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis secara tegas menolak Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025 yang akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen esok.
Menteri Besar keempat-empat negeri itu dalam kenyataan bersama hari ini berkata, sekiranya RUU URA diluluskan, ia akan menjadi satu undang-undang yang dijangka memberi implikasi besar terhadap kuasa autonomi negeri, hak pemilik tanah, kelangsungan komuniti asal bandar serta hak asasi penduduk setempat.
Katanya, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] yang sedia ada dengan jelas memperuntukkan bahawa urusan perancangan bandar terletak di bawah bidang kuasa eksekutif negeri yang dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Perancangan Negeri dan Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan.
“Akta 172 juga mengambil kira keperluan kawalan dan perancangan guna tanah serta pembangunan perbandaran yang sesuai selasar dengan dasar kerajaan sesebuah negeri serta keperluan sikap dan budaya penduduk setempat.
“Pendekatan ini adalah lebih holistik dengan mengambil kira cita rasa pembangunan negeri berasaskan pertimbangan dasar dan diharmonikan dengan sifat budaya penduduknya,” katanya.
Mengulas lanjut, kenyataan itu menyebut, pelaksanaan URA dibimbangi boleh menjejaskan hak pemilik asal tanah dan komuniti tradisi yang sedia ada dalam bandar terutamanya kaum Melayu dan bumiputera.
Katanya, URA juga tidak memperincikan mekanisme pampasan dan perlindungan yang jelas kepada pemilik asal tanah dan ia dibimbangi berkemungkinan akan menjejaskan imbangan kaum dan pemilikan hartanah terutama bumiputera di bandar.
“Negeri-Negeri SG4 amat bimbang. Tanpa mekanisme pelaksanaan yang jelas, pelaksanaan URA akan mewujudkan jurang komuniti kaum di bandar sekali gus menjejaskan keharmonian negara.
“Undang-undang sedia ada termasuk Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah 1960, dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, dengan pelaksanaan secara berfokus dan penambahbaikan yang wajar boleh menangani isu-isu berbangkit khususnya bagi tujuan pembangunan semula, penjanaan dan penyegaran semula bandar tanpa keperluan URA,” tambahnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi