BANGI, 3 RABIULAWAL – Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, memerintahkan kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dibuat dalam tempoh 14 hari.
Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet, membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.
Ketika membaca keputusan, Bhupindar Singh berkata, pihak Ketua Polis Negara selaku responden pertama akan menyelia proses penggalian semula jasad anak sulung yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu.
Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi di Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu di Selangor.
Berikutan itu pada19 Ogos lalu, ibunya, Ummu Haiman memfailkan usul bagi menggali semula jenazah bagi bedah siasat kedua dan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.
Menurut dokumen mahkamah yang difailkan oleh Tetuan Naran Singh & Co, Ummu Haiman selaku pemohon menamakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sebagai responden.
Ummu Haiman memohon supaya jenazah Syamsul Haris digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan dengan kehadiran pakar forensik, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh, dan Naran Singh, yang kedua-duanya dilantik olehnya.
Beliau juga meminta Bukit Aman menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk mengambil alih siasatan berhubung kematian Syamsul Haris.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi