BANGI, 2 RABIULAWAL – Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan perhimpunan aman di pekarangan Parlimen, esok sebagai tanda bantahan terhadap pembentangan bacaan kali kedua RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Selain itu, kerajaan dituntut tidak meneruskan pembentangan RUU itu kerana berpotensi membuka ruang kepada penindasan secara halus terhadap rakyat, terutama golongan miskin bandar.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Hafez Sabri, berkata pihaknya menolak sekeras-kerasnya RUU itu yang dibentangkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Katanya, penolakan terhadap RUU itu bukan sahaja datang daripada barisan pembangkang Perikatan Nasional (PN), malah disuarakan oleh beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan.
“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi melalui surat rasmi pada 20 Ogos 2025 turut menggesa agar bacaan kali kedua ditangguhkan hingga semua isu yang timbul dalam sesi libat urus baru-baru ini dapat diselesaikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi berkata, antara isu utama RUU itu adalah berhubung ambang persetujuan yang tidak munasabah.
Menurutnya, cadangan menetapkan ambang 70 peratus bagi bangunan berusia lebih 30 tahun dan 80 peratus bagi bangunan bawah 30 tahun adalah jauh lebih rendah berbanding piawaian antarabangsa.
“Sebagai perbandingan, Hong Kong menetapkan 90 peratus, manakala Singapura 80 peratus. Malah, Ahli Parlimen blok kerajaan sendiri turut mendesak agar ambang tersebut dinaikkan kepada 85 peratus demi menjamin hak pemilik dan penyewa rumah kos rendah,” katanya.
Selain itu, Hafez berkata, RUU itu bercanggah dengan beberapa undang-undang utama negara, termasuk Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara, Akta Hakmilik Strata serta Akta Pengambilan Tanah.
Sebagai contoh, katanya tafsiran mengenai Pihak Berkuasa Negeri bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dalam RUU ini meletakkan kuasa tersebut di bawah Menteri yang dipertanggungjawabkan ke atas kerajaan tempatan, dan bukan Yang di-Pertuan Agong.
“Persoalan besar timbul, mengapakah peruntukan tersebut seolah-olah mengetepikan dan mengambil alih peranan Yang di-Pertuan Agong di Wilayah-Wilayah Persekutuan?” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi