BANGI, 29 SAFAR – Sebuah pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbabit dalam kemalangan di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang, malam tadi.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan kenyataan media, memaklumkan kemalangan berlaku jam 9:05 malam membabitkan pesawat F/A-18D Hornet.
Menurut kenyataan itu, kemalangan berlaku di landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah.
“TUDM sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa mengenai insiden kemalangan itu.
“Semua pihak diminta agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau berita yang tidak sahih,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman, mengesahkan juruterbang dan pembantu juruterbang TUDM yang terbabit dalam kemalangan itu dilaporkan selamat.
“Polis sahkan kejadian berkenaan dan juruterbang serta pembantu juruterbang dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Di media sosial pula tular rakaman video letupan dan disusuli percikan api di terbabit.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi