Polis mengesahkan nombor telefon individu yang menghantar mesej ugutan kepada isteri bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, didaftarkan atas nama warga asing.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, perkara itu dikenal pasti hasil analisa pasukan polis.
“Kita (polis) sudah mengenal pasti nombor telefon berkenaan didaftarkan atas nama warga asing dan kita sedang mengesan individu terbabit,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.
Beliau turut mengulas mengenai siasatan kes serangan terhadap anak Rafizi dan berkata polis masih giat mengesan dua penunggang motosikal yang disyaki terbabit.
“Kita belum dapat mengenal pasti suspek kerana kedua-dua individu-individu memakai topi keledar,” katanya.
Ditanya mengenai jenis cecair yang disuntik kepada anak lelaki Rafizi semasa serangan di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lalu, Mohd Khalid memaklumkan pihaknya masih menunggu laporan kimia daripada hospital.
Setakat ini, seramai 19 individu telah diambil keterangan termasuk keluarga Rafizi, pemandu, pekerja dan saksi lain bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang pada 13 Ogos lalu, anak lelaki Ahli Parlimen Pandan itu diserang dan disuntik cecair oleh individu terbabit ketika berada di tempat menurun dan mengambil penumpang di pusat beli-belah berkenaan.
Rafizi dalam kenyataannya memaklumkan bahawa anaknya diserang dengan cara diheret dan disuntik menggunakan jarum suntikan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi