BANGI, 28 SAFAR – Tabung Haji (TH) masih mengamalkan kaedah perolehan secara rundingan terus namun ia hanya dibenarkan dalam keperluan tertentu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, ia terutama bagi perkhidmatan strategik yang memerlukan kepakaran khusus seperti khidmat perundingan strategik, tinjauan dan kajian pasaran serta lain-lain perkhidmatan yang tidak dapat diperolehi melalui proses tender biasa dengan tujuan untuk memelihara kepentingan pendeposit TH.
Mohd Na’im berkata, TH melalui proses rundingan terus yang ketat telah memilih konsortium gabungan syarikat-syarikat perunding yang memiliki kepakaran berbeza berdasarkan keperluan khusus.
Tegas beliau, ia bagi menyusun semula strategi untuk memberi nafas baharu kepada institusi terutamanya fungsi tabungan bagi menangani kedudukan simpanan yang rendah dalam kalangan pendeposit.
“Pemilihan ini telah melalui proses tadbir urus yang ketat merangkumi penilaian kepakaran teknikal dan komersial yang menyeluruh, rundingan harga serta kelulusan Jawatankuasa Tender dan seterusnya Lembaga Pengarah bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan nilai terbaik kepada organisasi.
“Saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan TH iaiatu Pengerusinya, Tan Sri Rashid Hussain, seorang tokoh korporat yang terbukti ketokohannya dalam urusan pelaksanaan dan saya mendapati penjelasan berkaitan runding terus TH kepada syarikat terbabit mempunyai kewajaran dan justifikasi yang munasabah.
“Syarikat yang dilantik juga tidak terlibat dalam perkara dan urusan dasar TH kerana strategi dan keputusan akhir adalah terletak kepada kepimpinan TH,” katanya sesi Pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary yang bertanya sekiranya TH masih mengamalkan amalan perolehan secara rundingan terus.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im mengingatkan bahawa TH ditubuhkan untuk membolehkan jemaah haji menabung dalam keadaan yang selamat dan terjamin bagi menunaikan ibadah haji dan kekal dalam kewangan yang stabil selepas menunaikan ibadah itu.
Katanya, bagi mencapai matlamat itu, Pengurusan Tertinggi TH telah melaksanakan kajian secara teliti serta proses semakan berkala terhadap proses kerja bagi memastikan kelangsungan institusi itu berdiri teguh.
“Ingin ditegaskan di sini, sebarang pembekal perkhidmatan yang dilantik TH telah melalui proses saingan pemilihan yang ketat dan mematuhi sepenuhnya polisi dan garis panduan perolehan sedia ada dengan dikawal selia secara rapi oleh Ahli Lembaga Pengarah.
“Polis dan garis panduan Perolehan TH telah diluluskan Ahli Lembaga Pengara pada Disember 2021 dan dikuatkuasakan pada Mac 2022.
“Kaedah perolehan yang dilaksanakan TH melibatkan proses tender atau rundingan terus yang mana kebanyakan perolehan dilakukan melalui proses tender,” tambahnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi