BANGI, 27 SAFAR – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menyebarkan maklumat palsu menerusi video di TikTok yang mendakwa kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebagai pembunuhan terancang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pihaknya pada mula mengesan satu hantaran video ditularkan oleh akaun TikTok @berjuanguntukzara.
“Video berdurasi dua minit enam saat itu memaparkan kenyataan tidak benar berhubung siasatan kes Zara Qairina kerana menyifatkan kematian pelajar berkenaan sebagai pembunuhan terancang.
“Berikutan itu, tangkapan dibuat ke atas seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun pada 18 Ogos jam 10.20 malam. Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan dalam kes itu.
“Permohonan reman telah dibuat dan dibenarkan reman selama tiga hari bermula semalam hingga 21 Ogos ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut M Kumar, semakan mendapati video bertajuk “Pendedahan Penemuan Bukti Bedah Siasat Zara” itu mengandungi audio perbualan penemuan kononnya berkaitan hasil bedah siasat Zara Qairina.
Siasatan berhubung kes ini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi